AntarabangsaIsu Semasa

“Militan IS Menipu Golongan Belia”

Walaupun kumpulan militan IS telah diisytiharkan “terkubur” oleh Presiden Iran awal minggu ini, namun terdapat anggota-anggota lain yang masih aktif merekrut ahli-ahli baru.

Baru-baru ini, pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Filipina, Al Haj Murad Ebrahim, menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan pengganas sedang menyasarkan untuk membawa masuk golongan belia menyertai mereka.

Ebrahim berkata, golongan muda “diperdaya” untuk menyertai kumpulan-kumpulan militan seperti IS yang juga dikenali sebagai Daesh.

“Mereka (militan) cuba membawa orang muda kita ke dalam kumpulan mereka. Mereka menipu belia kita,” tegasnya.

Minggu lepas, Ebrahim berada di Istanbul, Turki untuk menghadiri kongres antarabangsa komuniti Islam yang berlangsung selama dua hari.

Kongres tersebut dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sosial di Ankara, di mana ia membincangkan masalah dan peluang yang dihadapi oleh dunia Islam serta persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Islam di negara-negara Barat.

Sementara itu, Arif Ali Thottancheri, naib presiden sebuah organisasi Islam di India bergelar Jamaat-e-Islami Hind, menyatakan bahawa belia Muslim di negara itu sering kali diihat sebagai golongan yang berpotensi untuk menjadi pengganas.

“Di India, memakan daging lembu adalah kesalahan jenayah. Belia Muslim boleh dipukul sehingga mati hanya kerana mereka memakan daging,” katanya.

Tambah Arif, situasi ini tidak mempunyai perbezaan berbanding negara-negara lain, terutamanya negara-negara yang mempunyai penduduk minoriti Islam.

Dalam pada itu, Ebrahim turut mengkritik puak-puak radikal yang menjadi ‘cabang’ kepada kumpulan-kumpulan pengganas.

“Terdapat (puak) radikal di dalam wilayah kita. Terdapat segelintir cabang kumpulan pengganas.

“Mereka menggelar diri mereka Daesh. Mereka melakukan pembunuhan kejam di atas nama Islam,” ujarnya.

Memetik laporan Anadolu Agency, MILF yang berpangkalan di selatan pulau Mindanao, telah menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada bulan Mac 2014.

Kumpulan itu mendapat sokongan meluas daripada orang ramai di kawasan majoriti Muslim di Mindanao dan telah menjadi benteng utama dalam menentang penyebaran ekstremisme serta keganasan.

MILF juga telah membantu pasukan tentera kerajaan dalam pertempuran di Bandar Marawi selepas ia ditakluki oleh kumpulan-kumpulan militan Maute dan Abu Sayyaf yang telah bersumpah taat setia dengan Daesh.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker