AntarabangsaIsu Semasa

Kontroversi Kem Tahanan Pulau Manus

Pusat tahanan berkontroversi Australia yang terletak di Pulau Manus, Papua New Guinea (PNG) kerap menerima kritikan antarabangsa sehingga ke hari ini sejak ia dibuka semula pada tahun 2012.

Berikut adalah kronologi ringkas peristiwa-peristiwa penting mengenai pusat tahanan tersebut, menurut laporan BBC.

Kronologi ini juga menampilkan pentadbiran beberapa orang Perdana Menteri Australia sepanjang kontroversi ini berlangsung.

 

KRONOLOGI KEM TAHANAN PULAU MANUS

Pada tahun 2001, Kem ini mula dibuka semasa pentadbiran Perdana Menteri Australia, John Howard, di bawah sebuah dasar yang diperkenalkan pada waktu itu bergelar “Pasific Solution” sebagai langkah untuk menghalang kedatangan pencari suaka.

7 tahun kemudian (2008), kem berkenaan ditutup secara rasmi di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Kevin Rudd, namun ia dibuka semula pada bulan November 2012 oleh Perdana Menteri, Julia Gillard susulan peningkatan kedatangan pencari suaka, yang menjadi isu politik besar bagi kerajaan Buruh pimpinannya.

Pada bulan Julai 2013, jawatan perdana menteri diambil alih semula oleh Rudd sekali gus mengetatkan lagi dasar negara itu untuk golongan pelarian/pencari suaka.

Di bawah dasar itu, pencari suaka yang datang dengan menaiki bot tidak akan mendapat peluang untuk menetap di Australia.

Satu bulan selepas itu, Australia bersetuju untuk memberi bantuan dana kepada PNG A$ 400 juta (RM 1.25 bilion), tetapi dengan syarat PNG perlu mengendalikan kem itu dan bersetuju untuk menempatkan semula pelarian.

Bulan Februari 2014 menyaksikan sebuah tragedi pembunuhan di pulau itu yang melibatkan seorang pencari suaka warga Iran, Reza Barati, berusia 23 tahun.

Dia telah dibunuh menggunakan kayu dan batu ketika berada di pusat tahanan itu apabila sebuah rusuhan yang melibatkan penduduk tempatan tercetus.

Dalam pada itu, 70 orang pencari suaka lain turut tercedara dalam tragedi berkenaan.

Sebuah laporan Senat Australia kemudian mendapati bahawa rusuhan tersebut “sudah dijangka” untuk berlaku kerana kem tersebut sudah dibanjiri tahanan sehingga melebihi kapasitinya.

Dua warga PNG didapati bersalah dalam pembunuhan Barati dan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun, namun 5 tahun daripada tempoh itu dilaporkan telah dikurangkan.

Kemudian, satu lagi kes kematian berlaku pada bulan September 2014. Seorang lagi pencari suaka warga Iran bernama Hamid Khazaei, 24, meninggal dunia akibat jangkitan selepas cedera di bahagian kaki.

Kes itu menimbulkan persoalan sama ada Khazaei menerima rawatan yang sewajarnya atau tidak.

Pada bulan Januari 2015, beberapa orang tahanan mengunci diri mereka di dalam kem tersebut dan mencarkan mogok lapar.

Dua bulan selepas itu (Mac 2015), Perdana Menteri, Tony Abbott menyatakan bahawa beliau sudah “bosan dengan kritikan” Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai layanan Australia terhadap pencari suaka.

Mahkamah Agung PNG kemudian mengharamkan pusat tahanan pada itu April 2016 kerana ia bercanggah dengan perlembagaan.

Susulan itu, Perdana Menteri PNG, Peter O’Neill mengeluarkan arahan agar kem itu ditutup.

Setahun kemudian (April 2017), kira-kira 9 orang tercedera apabila pasukan pertahanan PNG melepaskan tembakan di kompaun itu.

Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana menteri terkini Australia, Malcom Turnbull mendakwa bahawa insiden tersebut tercetus susulan kemarahan orang ramai terhadap sebuah ‘khabar angin’.

Dalam khabar angin tersebut, seorang kanak-kanak lelaki dikatakan telah dibawa ke pusat tahanan tersebut oleh beberapa orang pencari suaka.

Namun Komisioner Polis PNG, David Yapu membidas cerita itu sambil mengesahkan bahawa tiada apa yang berlaku terhadap kanak-kanak itu.

Pada bulan Jun 2017, kerajaan Australia dan kontraktor-kontraktornya menawarkan pampasan bernilai A$ 70 juta (RM 219 juta) kepada pelarian dan pencari suaka yang mendakwa mereka telah mengalami kecederaan semasa berada di kem tahanan tersebut.

Tiga bulan kemudian (September 2017), Amerika Syarikat menerima 22 orang pelarian daripada Pulau Manus, iaitu pengambilan pertama di bawah perjanjian penempatan semula mereka.

Agensi Pelarian PBB (UNHCR) pada bulan Oktober 2017 telah memberi amaran bahawa penarikan diri Australia boleh mencetuskan “kecemasan kemanusiaan.”

Organisasi Human Rights Watch pula menggesa negara itu untuk mempertimbangkan menghantar pasukan polis untuk membantu proses pemindahan pelarian dan pencari suaka.

Pada 31 Oktober, pihak berkuasa menutup kem tahanan tersebut, namun ratusan pelarian dan pencari suaka enggan meninggalkannya kerana bimbang akan keselamatan mereka.

 

TERKINI

Polis PNG telah memindahkan kira-kira 40 orang pelarian dan pencari suaka keluar daripada pusat tahanan yang dikendalikan oleh Australia di Pulau Manus itu.

Walau bagaimanapun, lebih daripada 300 pelarian ingin kekal di sana, dan enggan meninggalkan kem itu sejak ia ditutup pada 31 Oktober.

Pihak berkuasa PNG juga telah memotong bekalan makanan, air dan elektrik di pusat tahanan terbabit.

Kerajaan Australia menutup kem tersebut selepas ia diharamkan oleh mahkamah PNG, dan menggesa penari suaka untuk berpindah ke pusat-pusat transit lain di pulau berkenaan.

Sementara itu, UNHCR telah menyeru PNG dan Australia supaya mengadakan sebuah dialog yang konstruktif untuk mengurangkan ketegangan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker