AntarabangsaIsu Semasa

Tentera Filipina Seksa Orang Awam Dalam Pertempuran Marawi?

Walaupun Bandar Marawi di Filipina berjaya dibebaskan oleh pasukan tentera daripada cengkaman militan yang bersumpah taat setia dengan IS, namun wujud sebuah laporan yang mendakwa bahawa terdapat segelintir anggota tentera yang salah guna kuasa dengan menahan dan menyeksa orang awam yang cuba melarikan diri dari bandar itu.

Dalam pertempuran selama 5 bulan itu, lebih daripada 1,100 orang telah terkorban termasuk kira-kira 900 orang militan, manakala 400,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Sebulan selepas Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan pembebasan Marawi, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menerusi sebuah laporan, telah meminta kerajaan Filipina supaya melakukan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa  dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius ketika pertempuran itu.

“Pasukan kerajaan Filipina melanggar larangan yang membantah seksaan dan layanan-layanan buruk lain ke atas tahanan, dan didakwa melakukan jenayah merompak,” kata laporan itu.

Memetik laporan Channel News Asia pada 17 November, Amnesty turut menyatakan bahawa ia telah berhubung dengan beberapa orang yang mendakwa pasukan kerajaan merompak harta milik orang awam seperti set televisyen, barang-barang antik, dan juga komputer, manakala kumpulan militan mencuri senjata, barang kemas dan juga wang daripada rumah-rumah penduduk.

“Pasukan kerajaan juga mungkin telah melaksanakan serangan udara dan darat yang kurang tepat,” katanya

Dakwaan ini muncul kerana jumlah kematian orang awam yang disebabkan pengeboman dan pembunuhan militan “mungkin lebih tinggi daripada kiraan rasmi.”

Menurut pihak tentera, kumpulan hak asasi manusia itu telah berhubung dengan pihak berkuasa semasa menulis laporan mengenai dakwaan-dakwaan berkenaan, dan ia juga diminta untuk menyerahkan dokumen itu ke jabatan luar atau wakil tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya kerajaan boleh memberi maklum balas.

“Kami telah memberitahu mereka (Amnesty) bahawa kami komited dalam menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menghormati hak asasi manusia,” kata jurucakap tentera, Mejar-Jeneral Restituto Padilla.

Padilla berkata, kes-kes yang diutarakan dalam laporan Amnesty itu mungkin adalah “insiden terpencil” sambil menambah bahawa seorang pegawai lima anggota tentera kini disiasat atas tuduhan mencuri peralatan daripada medan pertempuran.

Tegas beliau, pihak tentera juga membuat pemantauan teliti dalam menggunakan kekerasan terhadap militan, dan penggunaan bom di dalam operasi itu tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker