AntarabangsaIsu SemasaPolitik

“Saya Ingin Mati Di Zimbabwe”

Bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe telah diberi imuniti daripada didakwa serta jaminan keselamatannya di negara itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian supaya beliau meletak jawatan sebagai pemimpin selepas 37 tahun memerintah.

Mugabe yang memainkan peranan besar dalam memerdekakan negara itu pada tahun 1980, akhirnya melepaskan jawatan beliau pada hari Selasa (21 November 2017) selepas tentera melakukan rampasan kuasa dan parti pemerintah pimpinan beliau juga berpaling tadah daripadanya.

Berikutan itu, tempat Mugabe akan diambil alih secara rasmi pada hari Jumaat oleh bekas naib presiden yang dipecat oleh beliau awal bulan ini, iaitu Emmerson Mnangagwa.

Menurut sumber kerajaan, bekas presiden yang berusia 93 tahun itu menyatakan hasratnya untuk menghabiskan saki baki kehidupannya di Zimbabwe kepada perunding dan enggan hidup dalam buangan.

“Ia amat menyedihkan untuknya (Mugabe) dan beliau amat menekankan perkara itu.

“Baginya, ia amat penting supaya beliau diberi jaminan keselamatan untuk kekal di negara di dalam negara,” kata sumber.

Walau bagaimanapun, perkara itu tidak akan menghalang Mugabe daripada pergi ke luar negara pada bila-bila masa sahaja mengikut kehendak dan keperluannya untuk berbuat demikian.

Susulan peletakan jawatan Mugabe, majoriti rakyat negara itu menghembuskan nafas lega dan mengadakan perayaan besar-besaran di seluruh negara.

Memetik laporan Straits Times, kejatuhan bekas pemimpin itu selepas memerintah selama 37 tahun mula tercetus selepas beliau mahu isterinya untuk mengambil alih kedudukannya.

Di bawah pemerintahan Mugabe, ekonomi Zimbabwe dilaporkan runtuh dengan teruk, dan import besar-besaran bantuan asing diperlukan untuk membekalkan makanan kepada rakyatnya susulan inflasi yang melanda negara itu sejak lewat 1990-an lagi.

Punca kejatuhan ekonomi adalah disebabkan pembahagian tanah secara paksa, yang menyebabkan Zimbabwe, sebagai pengeksport makanan berubah menjadi sebuah negara yang sebaliknya bergantung kepada bantuan makanan.
Walaupun disifatkan sebagai seorang diktator atau pemimpin ‘kuku besi’, Mugabe tetap akan menerima ‘pakej persaraan’ yang sewajarnya termasuk bayaran pencen, elaun perumahan, percutian dan pengangkutan, insurans kesihatan, perjalanan udara yang terhad, dan keselamatan seperti yang tertakluk di bawah undang-undang Zimbabwe.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker