AntarabangsaPolitik

Pemimpin ‘Party of Hope’ Jepun Letak Jawatan

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike telah meletak jawatan sebagai pemimpin partinya pada Selasa minggu lepas (14 November) susulan kekalahannya dalam pilihan raya mengejut Jepun bulan lalu.

Pada bulan September, Koike yang juga bekas pembaca berita televisyen berikrar untuk menghapuskan budaya “politik lama”, lalu melancarkan sebuah parti baru bergelar “Party of Hope” dengan harapan untuk mengambil alih pemerintahan negara yang kini masih ditadbir oleh Liberal Demokratik Party (LDP) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Dalam pilihan raya berkenaan, Party of Hope meletakkan seramai 235 calon untuk bertanding, namun mereka hanya memenangi 50 kerusi.

Pihak Abe pula meraih kemenangan besar, dengan mendominasi 2/3 majoriti kerusi, sekali gus menghancurkan harapan untuk menyaksikan pelantikan Koike sebagai perdana menteri wanita pertama di negara itu.

Dua minggu lalu, sebuah tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Sankei Shimbun mendapati bahawa sokongan terhadap parti Koike telah jatuh daripada 9.5% kepada 3.9% pada bulan lepas.

Sementara itu, 77% responden juga mahu supaya Koike memberi fokus yang penuh terhadap tugasnya sebagai Gabenor Tokyo.

“Meletak jawatan sebagai pemimpin (parti), saya ingin menyokong anda dalam kapasiti yang sesuai (mengikut kemampuan),” katanya dalam sebuah sidang media.

Namun Koike berkata, beliau akan terus kekal dalam parti itu sambil melaksanakan tanggungjawabnya sebagai gabenor, lebih-lebih lagi apabila Jepun bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik Musim Panas menjelang tahun 2020.

“Saya telah menyelesaikan tanggungjawab saya sebagai pengasas (parti). Sebagai gabenor, Saya akan meletakkan pentadbiran metropolitan di hadapan dan bekerjasama dengan ahli-ahli parlimen Party of Hope yang baru,” tambahnya.

Memetik laporan The Sun Daily, ahli politik berusia 65 tahun itu dilantik menjadi Gabenor Tokyo pada tahun lepas selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya gabenor.

Penubuhan Party of Hope juga mewujudkan ‘gelombang’ yang besar dalam arena politik Jepun dan menyebabkan ramai ahli parti pembangkang utama untuk lompat ke parti Koike.

Namun, pengkritik ‘menyerang’ beliau kerana tidak mempunyai dasar yang jelas dan mengambil pendekatan seperti seorang ‘diktator’ dalam parti barunya.

Malah, Koike turut dilaporkan memaksa individu-individu yang ingin menyertai partinya untuk menandatangani sebuah ikar yang dibocorkan kepada media.

Pada tahun 2002, beliau menyertai parti LDP dan kemudian menjadi menteri alam sekitar pada tahun 2003.

Beberapa tahun kemudian (2007), Koike melakar sejarah apabila dipilih sebagai menteri pertahanan wanita Jepun yang pertama di dalam barisan kabinet pentadbiran Abe pada ketika itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker