Isu SemasaTempatan

Program Tenaga Nuklear Malaysia Raih Pujian Antarabangsa

Langkah Malaysia dalam mengambil pendekatan ‘berhati-hati’ ke atas rancangan pembangunan tenaga nuklear telah mendapat pujian di peringkat antarabangsa.

Bercakap di Persidangan Kementerian Antarabangsa Mengenai Tenaga Nuklear pada awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta Nuclear Energy Agency of the Organisation for Economic Co-operation and Development telah menobatkan Malaysia sebagai negara contoh yang mengambil langkah keselamatan yang bagus terhadap pembangunan tenaga nuklear.

“Kerja asas komprehensif Malaysia pada peringkat awal ini dan bagaimana kami membuat keputusan secara berhati-hati boleh menjadi dijadikan contoh kepada negara-negara baru (yang ingin melaksanakan pembangunan tenaga nuklear) untuk mereka ikuti.

“IAEA suka dengan cara kami yang berhati-hati dalam membuat keputusan,” kata Nancy.

Memetik laporan The Star, persidangan tersebut dihadiri oleh 700 orang menteri dan ahli parlimen daripada 67 buah negara seluruh dunia.

Malaysia sedang mempertimbangkan pemecahan nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaganya untuk mempelbagaikan sistem pembekal yang amat bergantung kepada arang batu dan gas asli bagi menghasilkan tenaga elektrik, di mana kedua-duanya adalah ‘penyumbang’ pelepasan karbon dioksida.

Menurut beliau, tenaga nuklear menjadi asas bagi usaha Malaysia untuk menggunakan tenaga mampan di masa hadapan, memandangkan pembekal tenaga yang stabil dan kos efektif amat penting untuk pembangunan di pelbagai bidang yang berkaitan dengan pertumbuhan negara.

Ujarnya lagi, Malaysia sedang meneroka semua pilihan secara menyeluruh dan teliti untuk mewujudkan sebuah program tenaga yang berasaskan tenaga campuran yang mampan dan boleh diharapkan.

“Memandangkan kajian dan proses membuat keputusan terhadap isu-isu ini mengambil masa yang lama, dan selain daripada menilai kebolehlaksanaan (aspek) teknikal tenaga nuklear, ekonomi dan merit sosial, kami sedang mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada orang awam.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan asas bagi keputusan ini adalah betul, dan kami kekal komited terhadap proses terbuka dan telus yang melibatkan orang ramai,” katanya.

Tambah Nancy, Malaysia telah menandatangani Perjanjian mengenai Larangan Senjata Nuklear pada 20 September, dan ia melambangkan pendirian kukuh negara ini ke arah dunia yang bebas daripada senjata nuklear.

“Dengan semangat ini, komitmen teguh Malaysia ke arah penghapusan senjata nuklear akan meningkatkan kredibiliti negara untuk penggunaan tenaga, sains dan teknologi nuklear yang aman, selamat dan terjamin,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker