AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Manny Pacquiao Sudah “Bosan” Dengan Politik

Bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao, baru-baru ini menyatakan bahawa beliau sudah bosan atau “fed up” dengan politik.

Pacquiao yang turut memegang jawatan senator sedang mempertimbang untuk meletak jawatan kerana amat kecewa dengan keadaan politik di negara itu.

“Saya rasa kecewa dan kecil hati. Saya ingin melepaskan (jawatan senator) kerana saya tidak biasa berpolitik.

“Saya mendapati bahawa di dalam politik, anda tidak akan tahu apa yang benar atau tidak. Orang (ahli politik) mempunyai banyak muka,” katanya kepada The Philippine Star awal minggu ini.

Tambahnya lagi, ramai ahli politik adalah orang-orang yang berpendidikan, namun mereka masih gagal untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan rakyat.

“Apa yang penting adalah seseorang (ahli politik) yang jujur dan ikhlas dan benar-benar ambil berat ke atas golongan miskin.

“Golongan kaya tahu tentang masalah negara tetapi mereka tidak dapat rasa apa yang dilalui oleh orang miskin,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Pacquiao amat menyanjungi presiden Rodrigo Duterte, di mana beliau menyifatkan pemimpin itu sebagai seorang individu yang kekal ikhlas dan bekerja keras untuk membawa perubahan walaupun ‘diserang’ oleh pelbagai pihak.

Dilantik menjadi sebagai salah seorang ahli kongres apabila menang di dalam pilihan raya tempatan tahun lepas, bintang tinju itu tidak pasti sama ada akan bertanding atau tidak untuk penggal seterusnya pada tahun 2022 nanti, di mana beliau turut meminta “petunjuk dari Tuhan” untuk memutuskannya.

Namun, pelatihnya yang berasal dari Amerika Syarikat, Freddie Roach, menggesa Pacquiao untuk bersara daripada dunia tinju dan memberi fokus penuh terhadap kerjaya politiknya.

“Sejak kebelakangan ini, saya telah bercakap dengan Manny tentang dirinya memegang dua pekerjaan sebagai peninju dan ahli politik di negaranya, dan kedua-dua (pekerjaan itu) memerlukan tanggungjawab, dedikasi dan masa yang banyak, kata Roach.

Tegas pelatih itu lagi, beliau tidak dapat melihat Pacquiao sebagai seorang individu yang berada di kedudukan lain, selain daripada ‘juara dunia’ dalam apa pun yang dilakukannya.

Prestasinya dalam dunia tinju dilihat semakin menurun sejak tewas di tangan Floyd Mayweather dalam sebuah perlawanan bersejarah pada tahun 2015.

Oleh itu, Roach berpandangan bahawa ini adalah waktu terbaik bagi anak didiknya untuk bersara.

“Menjadi seorang ahli tinju profesional dan senator pada masa yang sama adalah sangat sukar. Beliau masih mahu terlibat dalam beberapa perlawanan lagi.

“Beliau melakukan tugasnya dengan baik sebagai seorang senator sekarang, tetapi bukan sebagai seorang ahli tinju.,” tegas Roach.

Show More

Related Articles

Back to top button