Isu SemasaTempatan

Kanak-Kanak Malaysia Paling Bimbang Tentang Buli

Berdasarkan kajian global yang dijalankan oleh Unicef, tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia paling bimbang dengan pembulian berbanding tiga daripada 10 kanak-kanak di Jepun dan empat daripada 10 kanak-kanak di United Kingdom.

Kajian perbandingan yang memberi tumpuan kepada kebimbangan dan keutamaan kanak-kanak mengenai isu-isu global itu melibatkan 11,000 orang kanak-kanak berumur sembilan hingga 18 tahun di 14 negara di seluruh dunia termasuk Brazil, Mesir, India, Turki dan Amerika Syarikat.

Antara isu lain yang dibangkitkan oleh kanak-kanak ialah perubahan iklim (77 peratus) manakala kemiskinan, keganasan dan akses pendidikan mencapai 74 peratus, lapor NST.

Mereka juga bimbang tentang keganasan terhadap kanak-kanak dan lebih daripada separuh daripada peserta dalam kaji selidik tersebut menyatakan rasa tidak percaya kepada orang dewasa dan pemimpin.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa kanak-kanak peka terhadap isu-isu global dan prihatin terhadap kesannya kepada mereka dan rakan-rakan, terutamanya mengenai isu-isu seperti membuli.

Kira-kira 54 peratus daripada kanak-kanak Malaysia merasakan mereka tidak menyumbang kepada perubahan di Malaysia berbanding 51 peratus di Jepun, 61 peratus di Amerika Syarikat, 71 peratus di United Kingdom dan 40 peratus di India.

Menurut tinjauan, selain optimistik bahawa dunia akan menjadi tempat yang lebih baik jika para pemimpin memberi perhatian kepada mereka, kanak-kanak juga berasa paling dihargai apabila didengari oleh keluarga, rakan dan guru mereka.

Dalam kajian itu, minat kanak-kanak juga diambil kira dengan Barack Obama sebagai pilihan utama untuk dijemput ke pesta ulang tahun mereka, diikuti oleh pemain bola sepak Cristiano Ronaldo, penyanyi Justin Bieber dan pengasas AliBaba, Jack Ma.

Kanak-kanak di Malaysia, Brazil dan India juga memilih menonton televisyen sebagai hobi kegemaran mereka dan menghabiskan masa yang sama dengan kerja rumah dan media sosial. Penggunaan telefon pintar yang tertinggi juga adalah dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

Tinjauan ini dijalankan sempena Hari Kanak-kanak Sedunia pada 20 November dengan tema, #ForEveryChild, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada pihak berkuasa mendengar suara kanak-kanak.

Pada hari itu, 30 orang kanak-kanak di Malaysia termasuk mereka yang memerlukan keperluan khas akan mengambil alih media tempatan untuk mengutarakan suara mereka dan didengari di seluruh negara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker