AntarabangsaIsu Semasa

Malakeh Jazmati Pelarian Contoh di Jerman

Malakeh Jazmati adalah seorang warga Syria yang tinggal di Jerman dan merupakan salah seorang tukang masak yang paling terkenal di Berlin. Dua tahun lalu, Malakeh dan suaminya melarikan diri dari perang di Syria ke Berlin sebagai pelarian.

Sejak daripada itu, Malakeh memulakan kehidupan baru sebagai tukang masak sehingga dipuji oleh Canselor Jerman, Angela Merkel, yang turut kagum dengan masakannya, lapor Thelocal.

MALAKEH BERGAMBAR BERSAMA MERKEL

Malakeh, seorang penduduk Damsyik, tiba di ibu negara Jerman pada Oktober 2015 dan telah menjadi bintang di kalangan 600,000 orang Syria yang melarikan diri dari perang saudara dan menetap di Berlin.

Ketika di Syria, rakan-rakan memanggil Malakeh sebagai “Miss Spaghetti” kerana kepakarannya dalam menyediakan hidangan barat. Wanita itu bermula secara kecil-kecilan dengan menyediakan hidangan untuk makan malam atau parti Krismas dan sekarang boleh memasak untuk 800 orang dalam satu masa.

CHEF SELEBRITI SYRIA

MALAKEH MENYEDIAKAN MASAKAN SYRIA

Empat puluh peratus daripada pelarian di Jerman didaftarkan sebagai penganggur, dan Institut Penyelidikan Ekonomi Jerman menganggarkan ia akan mengambil masa sehingga 10 tahun untuk menyatukan mereka sepenuhnya ke dalam ekonomi kerana masih ramai yang mempunyai masalah berbahasa dan kurangnya kemahiran yang boleh dipasarkan.

Kisah Malakeh yang menyediakan hidangan masakan yang sempurna untuk canselor Jerman, Angela Merkel pada musim bunga lepas, telah menjadi titik perubahan dalam hidupnya sekaligus menjadikannya antara pelarian yang berjaya keluar dari kemelut kehidupan.

MALAKEH DAN KELUARGA

Malakeh mula melibatkan diri dalam seni masakan ketika berada di Jordan sebagai pelarian. Dia mengambil pekerjaan sebagai pengacara rancangan masakan di stesen televisyen bersama chef-chef terkemuka Arab.

Disiarkan di saluran yang mengkritik rejim Syria, programnya dengan cepat menjadi bualan ramai. Malakeh kemudiannya berhijrah ke Berlin dan menyempurnakan kemahirannya di dapur dalam sebuah tempat perlindungan pelarian di ibu negara Jerman itu.

Antara kepakarannya adalah menyediakan sandwich shawarma yang lazat dengan daging panggang dan kibbeh, daging cincang yang disempurnakan dengan kayu manis bersama sup herba molokhia.

Malakeh, 30, bersama suaminya kini menjalankan perniagaan katering dikenali sebagai Levante Gourmet yang sedang berkembang pesat. Malakeh adalah model integrasi terbaik yang dapat ditonjolkan oleh Merkel dalam mempertahankan dasar sempadan liberalnya menjelang pilihanraya negara itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker