Isu SemasaTempatan

Doktor Palsu, Tindakan Tegas Menanti Anda

Tindakan akan diambil terhadap individu di farmasi-farmasi yang berpura-pura menjadi doktor serta merawat pesakit walaupun mereka tidak mempunyai kelayakan yang sepatutnya, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai.

Beliau berkata, kementerian menyedari akan kewujudan masalah itu serta menggambarkannya sebagai sudah tersebar luas.

Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai

“Aktiviti penguatkuasaan secara berterusan akan diteruskan. Kami juga akan bertindak ke atas sebarang aduan yang kami terima tentang perkara ini,” kata Dr Jeyaindran.

 

PENGAMAL PERUBATAN TIDAK BERDAFTAR “MELANGGAR UNDANG-UNDANG” 

Menurut beliau lagi,  selagi seorang individu tidak didaftarkan sebagai pengamal perubatan, orang itu sedang melanggar undang-undang jika dia memberi ubat berpreskripsi kepada pesakit.

“Walaubagaimanapun, orang yang tidak layak tidak boleh menguruskan pesakit dengan penyakit akut seperti penyakit asma atau penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kerana mereka memerlukan ubat berpreskripsi,” terangnya lagi.

Dr Jeyaindran menggesa semua anggota profesional kesihatan untuk mematuhi had kebolehan profesional mereka.

 

JANGAN MELAMPAUI BATAS

“Mereka yang melampaui had harus sedar bahawa mereka boleh diambil tindakan disiplin sama ada oleh badan profesional masing-masing atau boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Bergantung pada jenis-jenis kesalahan, seseorang boleh didakwa di bawah salah satu daripada 60 undang-undang dan peraturan tentang perlaksanaan penjagaan kesihatan di Malaysia, termasuk Akta Perubatan dan Akta Kerjaya Kesihatan Bersekutu.

Dr Jeyaindran juga menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan bantuan perubatan daripada doktor yang berkelayakan, lebih-lebih lagi untuk penyakit kronik seperti diabetes.

“Hanya mengukur kandungan gula dalam darah atau tekanan darah adalah tidak mencukupi. Pesakit perlu diperiksa untuk (mengenal pasti) tanda-tanda awal komplikasi dan mengambil langkah-langkah proaktif.

“Hal ini hanya boleh dilakukan oleh doktor yang berkelayakan,” tambahnya lagi.

Persatuan Gabungan Pakar Perubatan Malaysia (MPCAM) berkata, terdapat sesetengah kes yang menyaksikan golongan ‘bukan doktor’ di farmasi memberi ubat berpreskripsi kepada pesakit.

 

GOLONGAN ‘BUKAN DOKTOR’ MEMBERI SUNTIKAN 

Tegas MPCAM, terdapat juga dakwaan bahawa golongan ‘bukan doktor’ memberi suntikan lutut untuk pesakit yang menghidap osteoartritis, di mana prosedur hanya boleh dilakukan oleh doktor yang berkelayakan.

Timbalan Presidennya,  Dr Raj Kumar Maharajah berkata, persatuan itu menerima aduan daripada doktor-doktor dan pesakit tentang masalah ini, yang dilihat sedang mengalami peningkatan.

“Masalah ini telah lama terjadi. Golongan doktor yang tidak berdaftar ini menjalankan rundingan, memeriksa dan merawat pesakit” katanya kepada Sunday Star.

 

DIAGNOSIS SALAH BOLEH MEMBAWA MAUT

Dr Raj Kumar memberi amaran bahawa diagnosis yang salah oleh doktor yang tidak bertauliah boleh menyebabkan kematian pesakit.

“Hal ini lebih mudah terjadi kepada pesakit darah tinggi dan pesakit kencing manis yang memerlukan ubat untuk mengekalkan tahap-tahap keadaan ini pada tahap yang optimum.” katanya.

Jelas beliau lagi, sekiranya tersalah memberi dos atau ubat, ia boleh menyebabkan komplikasi.

Bukan itu sahaja, malah, ia juga boleh mengakibatkan kematian sekiranya tidak dikesan lebih awal.

 

FARMASI PERLU DIDAFTAR DI BAWAH AKTA KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN KESIHATAN PERSENDIRIAN 

Menurut Dr. Raj Kumar, farmasi masa kini tidak didaftarkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Kesihatan Persendirian.

Beliau turut menggesa pihak-pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap doktor-doktor yang tidak berdaftar.

“MPCAM mahu farmasi-farmasi disenaraikan di bawah Akta berkenaan supaya terdapat penguatkuasaan yang sepatutnya,” kata Dr Raj Kumar.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker