AntarabangsaIsu Semasa

Robert Mugabe: Wira, Guru, Dan Diktator

Robert Mugabe merupakan perdana menteri dan presiden pertama di Zimbabwe, yang sebelum ini dikenali sebagai Rhodesia.

Sebagai seorang guru dan perunding yang bijak, beliau dilihat sebagai seorang individu yang mampu memulihkan segala ‘kerosakan’ yang disebabkan oleh perang saudara yang berlangsung selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, tindakan kejamnya terhadap pemberontakan yang dilakukan oleh penduduk Ndebele dari selatan negara itu mewujudkan persepsi bahawa Zimbabwe adalah negara yang melakukan penindasan politik dan penyalahgunaan ekonomi.

Kini berusia 93 tahun, Mugabe menjadi pemimpin negara yang tertua di dunia yang masih berkhidmat dan juga salah seorang pemimpin Afrika yang paling lama memerintah.

 

PERJALANAN MENCEBURI BIDANG POLITIK

Mugabe memulakan kerjaya politiknya dengan menentang kerajaan minoriti berkulit putih di bawah pimpinan Ian Smith.

Beliau berada dalam tahanan selama 10 tahun sehingga tahun 1974 dan kemudian pergi ke Mozambique, di mana presiden itu menentukan peranan Ziimbabwe African National Union (ZANU) dalam peperangan gerila.

Pada tahun 1978, Smith tunduk kepada tekanan dan sekatan dari luar (Amerika Syarikat dan Britain), lalu bersetuju untuk mengadakan pilihan raya perwakilan, dan pihak Smith ditewaskan oleh pihak lawan UANC, satu-satunya parti berkulit hitam yang menolak keganasan.

Walau bagaimanapun, AS dan Britain masih enggan menarik sekatan itu, di mana sebuah persidangan semua parti dianjurkan di Lancaster House di London.

Mugabe, sebagai pemimpin ZANU yang meraih sokongan daripada penduduk yang majoritinya adalah puak Shona, menghadiri persidangan itu sebagai bakal perdana menteri Zimbabwe.

Dalam pilihan raya berikutnya pada tahun 1980, parti ZANU-PF (Zimbabwe African National Union – Patriotic Front) memenangi 57 daripada 80 kerusi di parlimen baru, di mana sebanyak 20 kerusi tambahan dikhaskan untuk golongan berkulit putih.

 

TERSELAMAT DARIPADA DUA CUBAAN PEMBUNUHAN

Ketika berkempen, Mugabe terselamat daripada dua cubaan untuk membunuhnya.

Oleh itu, Mugabe akhirnya dilantik menjadi perdana menteri secara rasmi, namun pelantikannya itu menyebabkan kewujudan goyah oleh pesaingnya dari parti ZAPU, yang mewakili puak Ndebele.

Pada tahun 1983, beliau menggugurkan Joshua Nkomo (parti ZAPU) daripada barisan kabinetnya, sekali gus mencetuskan pemberontakan bersenjata di Ndebeleland.

Selepas itu, Mugabe mengukuhkan kedudukannya dengan memansuhkan jawatan perdana menteri dan mengisytiharkan dirinya sebagai presiden eksekutif Zimbabwe.

 

“ORANG TUA HEBAT” DALAM POLITIK AFRIKA

Apabila menjadi presiden, beliau terus memenangi pilihan raya pada tahun 1990, 1996, dan 2002 secara berturut-turut, namun kredibiliti dan ketelusan pilihan raya itu dipersoalkan oleh ramai pihak.

Mugabe menggelar dirinya sebagai “Orang Tua Hebat” dalam arena politik Afrika, di mana penyokongnya menyatakan bahawa kerajaan pimpinan beliau memperoleh pencapaian yang baik dalam meningkatkan penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk penduduk majoriti kulit hitam.

Walau bagaimanapun, kuasa Barat menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin ‘kuku besi’ yang tidak menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menggunakan kekerasan untuk kekal berkuasa.

 

KEJATUHAN EKONOMI ZIMBABWE

Di bawah pemerintahan Mugabe, ekonomi Zimbabwe dilaporkan runtuh dengan teruk, dan import besar-besaran bantuan asing diperlukan untuk membekalkan makanan kepada rakyatnya susulan inflasi yang melanda negara itu sejak lewat 1990-an lagi.

Pada tahun 2009, Zimbabwe menghentikan pencetakan matawangnya dan 6 tahun kemudian (2015), negara itu mengumumkan rancangan untuk bertukar sepenuhnya kepada penggunaan matawang Dolar Amerika.

Selain itu, campur tangan pihak tentera dalam perang saudara di negara jiran, Republik Demokratik Congo (DRC) juga memberi tekanan kewangan besar.

Namun, peperangan di Congo bukanlah penyebab utama. Punca kejatuhan ekonomi adalah disebabkan pembahagian tanah secara paksa, yang menyebabkan Zimbabwe, sebagai pengeksport makanan berubah menjadi sebuah negara yang sebaliknya bergantung kepada bantuan makanan.

Apabila Mugabe menjadi perdana menteri, kira-kira 70% tanah pertanian dimiliki oleh hampir 4,000 penduduk berketurunan kulit putih.

Pada asalnya, kerajaan pimpinannya memperkenalkan pelan “willing buyer, willing seller” untuk pengagihan tanah, namun ia tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan, sehingga Mugabe mula menggunakan paksaan pada tahun 1999 dan 2000.

Susulan paksaan itu, individu-individu yang mendakwa diri mereka sebagai “veteran perang” menakluki ladang milik orang kulit putih, dan peristiwa itu menyebabkan tersebarnya cerita-cerita mengenai kes rogol, pukul dan bunuh.

Penaklukan ladang tersebut menjejaskan pengeluaran pertanian, dan menyebabkan populasi negara itu mengalami kekurangan makanan.

 

ZIMBABWE KELUAR DARI KOMANWEL

Pada tahun 2001, Komanwel menggantung keahlian Zimbabwe, namun Mugabe menarik negaranya keluar dari blok itu selepas 18 bulan penggantungan itu.

Sementara itu, AS mengenakan sekatan tersendiri terhadap Zimbabwe, yang mendakwa situasi di negara itu “membahayakan seluruh rantau Afrika Selatan.”

Pada tahun 2004, Kesatuan Afrika pula mengkritik secara terbuka pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh Zimbabwe, di mana golongan peguam, wartawan dan ahli-ahli parlimen dilaporkan telah ditangkap dan diseksa.

Mugabe juga telah dituduh menggunakan kebuluran sebagai ‘senjata utama’ politik dengan tidak memberi bantuan makanan ke kawasan-kawasan yang menyokong pembangkang.

 

MASIH KEKAL SEBAGAI PRESIDEN SEHINGGA HARI INI

Dalam pilihan raya tahun 2008, Mugabe pada mulanya berjaya ditewaskan oleh ahli politik bernama Morgan Tsvangirai, yang juga pernah menjadi perdana menteri negara itu, dengan undian 47.9% (Tsavangirai) dan 43.2% (Mugabe).

Namun, disebabkan tiada sesiapa yang meraih 50% undian dan ketika hendak menentukan siapa menjadi presiden, sebuah peristiwa keganasan telah berlaku dan menyebabkan ramai terbunuh dan kehilangan tempat tinggal.

Oleh itu, Tsvangirai telah menarik diri dan Mugabe dilantik semula sebagai presiden walaupun mendapat kecaman antarabangsa.

Beliau kemudian turut memenangi pilihan raya 2013, tetapi pilihan raya itu juga dilaporkan tidak dijalankan dengan bebas dan telus.

Zimbabwe mempunyai kadar pengangguran lebih daripada 90%, dan negara itu dijangka akan mengadakan pilihan raya pada tahun depan, di mana Mugabe berikrar untuk terus bertanding.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker