Gaya HidupPercutian

Geisha Adalah Seniman, Bukan “Pelacur Kelas Atasan”

Maikoya Osaka, sebuah pusat kebudayaan di Osaka telah membuka sebuah kafe geisha (penghibur wanita di Jepun)  bernama Maiko Café, bagi membolehkan pelawat bertemu dengan wanita-wanita yang sedang menjalani latihan untuk menjadi seorang geisha.

Laporan AFP Relax News mengatakan, kafe ini terletak di kawasan Shinmaci yang pernah digunakan sebagai tempat kediaman geisha pada suatu ketika dahulu sehingga pertengahan tahun 1980-an.

Geisha merupakan golongan yang ‘rare’ atau jarang untuk ditemui, memandangkan ia amat sukar bagi mereka untuk bergambar.

 

LATAR BELAKANG GEISHA

Bersifat anggun dan teliti, wanita-wanita ini selalunya akan bergerak dengan pantas sambil menundukkan kepala mereka sebagai tanda hormat.

Sekiranya anda terjumpa mana-mana ‘geisha’ yang mempunyai masa dan bergaya untuk bergambar, mereka kemungkinan besar bukan geisha yang sebenar, tetapi hanya pelancong atau orang lain yang berpakaian sepertinya.

Selain daripada menyaksikan sendiri geisha secara langsung, pelawat juga dibenarkan untuk bertemu dengan pelatih golongan penghibur itu yang dikenali sebagai Maiko, sambil belajar tentang seni tradisional Jepun.

Seorang geisha memainkan shamisen

 

GOLONGAN GEISHA KOMUNITI MISTERI

“Seorang geisha perlu mahir dalam seni dan kraf tradisional Jepun seperti upacara minum teh, memakai kimono, bermain shamisen, menggubah bunga, dan juga melakukan persembahan buyoo, sebuah tarian tradisional Jepun,” kata pengurus Maiko Kafe, Miho Harata.

Harata berkata, pihaknya mahu mendidik orang ramai dari seluruh dunia bahawa geisha adalah seniman dan bukan pelacur kelas atasan.

Secara tradisinya, geisha adalah sebuah komuniti yang penuh dengan misteri, rahsia, dan perkhidmatan mereka hanya terbuka kepada golongan-golongan elit serta tidak dapat diakses oleh orang luar.

 

PERKHIDMATAN GEISHA BOLEH DIDAPATI PADA MASA KINI

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat pelancong yang sanggup membayar lebih daripada AS$ 1,000 (RM 4,264) untuk meluangkan masa di ochaya (rumah teh) dan merasai sendiri pengalaman dilayan oleh geisha.

 

Untuk mendapatkan perkhidmatan itu, mereka selalunya akan berhubung dengan penyambut tetamu di hotel-hotel bertaraf 5 bintang atau ryokan (rumah tumpangan tradisional) mewah di Jepun.

 

Lokasi terbaik untuk melihat geisha tentu sahaja di Kyoto, tempat kelahiran budaya geisha.

Bagi pelancong yang mempunyai bajet yang lebih kecil pula, mereka kini boleh belajar seni upacara meminum teh bersama maiko pada harga sekitar AS$ 90 (RM 384) di Maiko Café.

Antara hidangan menarik yang terdapat dalam menu di kafe itu adalah “ais krim emas” dan sandwich daging lembu Kobe berharga AS$ 300 (RM 1,281), yang disaluti dengan taburan emas.

Dalam pada itu, seorang penterjemah Bahasa Inggeris juga akan sentiasa berada di sana bagi memudahkan proses komunikasi di antara pelanggan dan pihak kafe.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker