AntarabangsaIsu Semasa

Belia Dan Wanita Pemacu Masa Depan Digital Arab Saudi

Wanita dan golongan belia akan memimpin dalam memacu Arab Saudi ke arah masa depan digital.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Eksekutif Google Cloud, Diane Greene, ketika menghadiri sebuah forum, bernama Misk Global Forum.

“Semangat dan penerimaan perubahan sangat boleh dirasai di sini. Saya amat optimistik mengenai apa yang boleh dicapai di sini,” kata Greene.

Ujar beliau, Arab Saudi sudah pun mempunyai pakar serta pemimpin wanita dalam bidang teknologi, yang tidak mengalami sebarang kesukaran untuk turut serta dalam masa depan teknikal di negara itu.

Ketika lawatan pertamanya ke Arab Saudi, Greene menyatakan bahawa beliau amat terpegun dengan semangat golongan muda untuk melakukan perubahan.

Daam pada itu, Misk Global Forum menampilkan pemimpin, pencipta dan pemikir dari kalangan golongan muda bersama-sama pencipta ternama untuk meneroka cabaran-cabaran yang perlu dihadapi demi melakukan perubahan.

Memetik laporan Arab News, Misk Foundation (Yayasan Misk) ditubuhkan oleh Putera Mahkota, Putera Mohammed Bin Salman untuk memperkasakan belia-belia Arab Saudi untuk menimba ilmu pengetahuan ekonomi.

Ketua Google Cloud itu turut mengambil bahagian dalam perbincangan panel bersama Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Abdullah Alswaha.

Perbincangan mereka tertumpu kepada perubahan pesat yang sedang berlaku di Arab Saudi, susulan pemansuhan larangan memandu ke atas wanita dan projek Neom (Bandar Masa Depan) bernilai AS$ 500 bilion (RM 2.08 trilion) yang baru dilancarkan oleh Putera Mahkota pada bulan ini.

Menurut Alswaha, digitalisasi ekonomi Arab Saudi akan di diterajui sepenuhnya oleh golongan belia, dengan 70% populasi di bawah usia 30 tahun.

“Ini akan memberikan negara ini kelebihan unik dan berdaya saing yang diterajui oleh ilmu, keusahawanan, dan inovasi,” katanya.

Alswaha turut mengumumkan usahasama di antara kementeriannya, Yayasan Misk dan Mohammed bin Salman College for Business dan Entrepreneurship untuk mengambil 30 orang usahawan muda tempatan dan syarikat-syarikat teknologi, seperti Careem (e-hailing) dan Telfaz (aplikasi internet TV).

“Kami akan meletakkan mereka dalam program selama setahun, memberi pendedahan kepada ‘Lembah Silikon’ di seluruh dunia, kejayaan Eropah, memperkenalkan mereka kepada pemecut dan peneroka kapitalis, serta berganding bahu dengan syarikat-syarikat teknologi gergasi dan institusi-institusi ilmu,” tambahnya lagi.

Pada bulan September, Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat Arab Saudi telah memansuhkan larangan ke atas aplikasi-aplikasi yang menyediakan perkhidmatan panggilan audio dan video yang menggunakan internet.

Langkah tersebut ternyata telah memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat, daripada tentera sehingga pelajar yang menuntut di luar negara yang kini boleh menghubungi orang-orang tersayang mereka dengan lebih mudah.

“Komunikasi dan teknologi maklumat mampu mendekati orang ramai dan menawarkan gaya hidup yang lebih baik….Berdaya saing bergantung kepada anda,” katanya kepada belia di negara itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker