Sukan

Fatehah Hilang Kelayakan Di Acara Final Selepas Terbabas

Ia adalah penamat yang mengecewakan buat Fatehah Mustapa bagi acara keirin wanita untuk second leg UCI Track World Cup di England

Pelumba berusia 28 tahun itu bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan lebih teruk selepas berlanggar dengan Stephanie Morton dari Australia dan Simona Krupeckaite dari Lithuania. Mereka sedang merebut tempat di acara akhir di Manchester pada Sabtu yang lalu.

Juara bertahan Olimpik, Kristina Vogel dari Jerman memenangi perlumbaan itu, di hadapan Shanne Braspennincx dan Laurine Van Rieesen, masing-masing berasal dari Belanda.

Fatehah yang berlumba untuk pasukan CIMB Pro Cycling Team, kemudiannya dipersalahkan kerana menyebabkan kemalangan itu. Beliau hilang kelayakan dan gagal untuk mengutip sebarang mata.

“Saya tidak menyebabkan perlanggaran itu. Saya rasa jurulatih John (Beasley) mahu membuat rayuan berdasarkan bukti pada rakaman video. Dua pelumba itu terjatuh dan saya tidak dapat mengelak.

“Saya berharap pegawai rasmi di sana akan menukar status saya daripada ‘hilang kelayakan’ kepada ‘diturunkan’ supaya saya dapat mengumpul sedikit mata,” kata Fatehah, pemenang 4 pingat emas di Sukan SEA 2017 di Kuala lumpur pada bulan Ogos yang lalu.

Walau bagaimanapun, beliau menarik nafas lega kerana tidak mendapat kecederaan yang lebih teruk.

“Nasib baik saya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu dan peha. Saya akan kembali dengan lebih kuat dan pantas di Kejuaraan Asian Cycling Confederation (di Nilai pada Febuari tahun hadapan),” ujarnya lagi.

Azizulhasni Awang yang masih cedera di buku lali kirinya akibat kemalangan ketika perlumbaan di Poland minggu lalu, hanya mampu menamatkan perlumbaan sebagai pelumba ke-30 terpantas dalam perlumbaan kelayakan acara pecut lelaki dengan masa 10.243 saat.

Manakala rakan sekumpulannya Mohd Shah Firdaus Sahrom berada di tempat ke-31 dengan catatan masa 10.320 saat.

Perlumbaan ketiga akan diadakan di Milton, Kanada pada 2-3 Disember, diikuti Santiago di Chile pada 9-10 Disember dan Minsk di Belarus pada 19-21 Januari.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker