FesyenGaya Hidup

Salon Du Chocolat Peraga Gaun Daripada Coklat

Tiada sesiapa yang tidak menyukai coklat, tetapi adakah anda pernah terfikir bagaimana pakaian yang dibuat daripada makanan istimewa itu akan kelihatan? Jika anda ingin tahu, lihat koleksi gambar yang menakjubkan dari acara Salon du Chocolat yang dianggap sebagai acara terbesar dunia yang didedikasikan untuk coklat dan koko.

Model berjalan di pentas peragaan dalam pertunjukan coklat terbesar di dunia dan memakai pakaian yang dibuat daripada pencuci mulut mewah ini. Acara itu diadakan di Paris, Perancis dari 28 Oktober hingga 1 November lalu dan turut menampilkan pelbagai resipi coklat, lapor Blastingnews.

Acara ini menampilkan lebih daripada 200 pembuat coklat dan pembuat pastri dari seluruh pelosok dunia yang berkongsi pengetahuan mereka dalam industri pembuatan makanan berasakan coklat. Sekitar 60 negara telah terlibat untuk berkongsi resipi mereka dan menganjurkan bengkel  makanan yang boleh dicuba dengan percuma.

Ketika acara bermula, pertunjukan fesyen itu memaparkan model dalam pakaian koktel dan gaun panjang yang dibuat dengan coklat gelap dan putih yang sebenar. Kebanyakan pakaian yang diperagakan mempunyai potongan yang rumit dan reka bentuknya dihiasi taburan coklat.

Pertunjukan tahun ini memberi tumpuan kepada tema, “Adakah Coklat dan Pastri Pengembaraan Baru?” Ia diadakan di Porte de Versailles. Tempat ini merupakan pusat pameran di ibu negara Perancis dan merupakan pusat pameran terbesar di Eropah.

Pakaian yang dipamerkan sungguh luar biasa walaupun tidak sepenuhnya diperbuat daripada coklat tetapi fesyen yang diilhamkan daripada coklat itu mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Dalam pertunjukan ini, seramai 15 orang pereka fesyen telah bekerjasama dengan pembuat coklat dalam merealisasikan penghasilan gaun coklat. Menurut pereka, antara cabaran terbesar ialah memastikan coklat yang digunakan tidak mencair di bawah pancaran lampu.

Selain daripada bengkel makanan dan pertunjukan fesyen, Salon Du Chocolat mempunyai pelbagai lagi aktiviti menarik. Antaranya ialah pembuatan arca pencuci mulut, persembahan langsung dari negara-negara yang menghasilkan koko, bengkel pastri, penandaan buku dan ceramah. Peserta juga dialu-alukan untuk membentangkan produk mereka.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker