Hiburan

Kisah Lee Chong Wei Ke Layar Perak

Kisah kehidupan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal diadaptasi ke layar perak. Lee Chong Wei berharap filem biografi mengenai dirinya akan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah untuk peminat sukan badminton di seluruh dunia.

Filem yang diberi judul ‘Rise of Legend’ arahan Teng Bee itu mengisahkan sepenuhnya mengenai penglibatan awal Chong Wei dalam arena badminton sehingga menjadi jaguh terkemuka dunia.

Lee Chong Wei bersama pelakon wataknya

“Saya tidak sangka kisah hidup saya sebagai pemain badminton dijadikan filem. Saya berharap filem ini menjadi inspirasi kepada semua peminat badminton tempatan dan luar negara.

“Filem ini mengisahkan cabaran kehidupan saya sebagai pemain badminton dan saya berharap dapat mendorong penonton untuk lebih suka sukan badminton dan tidak mudah berputus asa,” katanya kepada Bernama.

Chong Wei juga turut turun padang ketika kru produksi mengadakan sesi uji bakat bagi pemilihan pelakon bagi menjayakan wataknya. Filem yang dirancang sejak tiga tahun lepas itu melibatkan lebih 2,000 peserta uji bakat untuk melakonkan watak Chong Wei, termasuk peserta dari Taiwan.

Beliau turut berpuas hati dengan lakonan Tosh Chan bagi watak dewasa dan Jake Eng untuk watak ketika kanak-kanak. Pihak produksi juga bercadang menayangkan filem tersebut di luar negara seperti Singapura, China, Taiwan dan Jepun.

Filem yang mengambil masa pengambaran 50 hari itu akan ditayangkan awal tahun depan.

Barisan pelakon Rise Of Legend

Antara pelakon membintangi filem itu adalah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley Ashley (Datin Wong Mew Choo), pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa Chong Wei, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu Chong Wei, Khor Kim Chooi).

Sementara itu, Rosyam berkata filem tersebut bukan sahaja mengisahkan perjalanan hidup Chong Wei tetapi turut memaparkan hubungan erat antara Chong Wei dan Misbun yang diibaratkan seperti bapa dan anak.

“Saya bersetuju menerima tawaran melakonkan watak Misbun kerana impak filem ini bukan fiksyen tetapi realiti. Saya percaya filem ini mampu menjadi rujukan pada masa akan datang,” kata Rosyam.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker