Bisnes & Ekonomi

Catzonia: Hotel 5 Bintang Pertama Untuk Si Comel

Sanggup melepaskan jawatan sebagai jurutera yang terbabit dalam beberapa projek rel mega di Malaysia, Muhammad Syahir Zainal, 29, mengadaptasikan minatnya kepada haiwan kesayangan dengan membuka ‘hotel kucing lima bintang’ yang pertama di dunia diberi nama Catzonia.

Usahanya itu bukan hanya menarik perhatian agensi kerajaan sehingga membolehkan Catzonia dipilih sebagai pemenang geran bernilai RM500,000 Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), malah ada pelabur antarabangsa berminat membeli perniagaan itu pada harga jutaan ringgit.

“Matlamat saya adalah melaksanakan sesuatu sehingga menjadi nombor satu. Justeru, Catzonia adalah platform yang diyakini boleh ditunjukkan kepada dunia bahawa kita sebenarnya boleh menjadi nombor satu,” katanya ketika ditemuramah Beritaharian.

Jenama Catzonia yang kini amat popular dalam kalangan peminat kucing adalah pusat jagaan harian premium yang mengutamakan keselesaan paling optimum kepada haiwan peliharaan itu.

Tidak menghairankan apabila hotel kucing itu menjadi pilihan kepada golongan kenamaan, selebriti dan pemilik kucing yang amat menitikberatkan kesejahteraan haiwan kesayangan ketika mereka berada di luar kawasan atau pulang ke kampung.

Idea penubuhan Catzonia bermula ketika beliau masih melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat (AS).

Justeru, beliau membangunkan idea untuk menyediakan pakej hotel penginapan kucing berkelas lima bintang yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, berbanding perkhidmatan yang biasa ada di pasaran.

Antara pakej premium yang ditawarkan di Catzonia adalah bilik selesa yang menempatkan katil, taman permainan mini dan tandas khas.

Selain itu, kucing yang ditempatkan di kemudahan lima bintang itu juga diberikan makanan premium sebanyak tiga kali sehari, dibersihkan dan sesi bermain bersama penjaga pusat jagaan berkenaan, terdiri daripada kakitangan Catzonia yang juga pencinta kucing.

Paling menarik, kemudahan berkenaan juga dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan pancaran secara langsung ke telefon pintar pelanggan menerusi aplikasi khas. Ia bagi memastikan pelanggan dapat memantau aktiviti haiwan kesayangan mereka yang sudah dianggap sebahagian keluarga sendiri.

Malah, kemudahan berkenaan ditingkatkan dengan tahap kebersihan optimum melalui sistem pengudaraan yang dibangunkan sendiri oleh Syahir.

Catzonia yang kini sudah mempunyai dua cawangan iaitu di Damansara Perdana dan Shah Alam bakal dikembangkan dalam tempoh terdekat dengan sasaran dibuka di seluruh Malaysia dan negara lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker