AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Jacinda Ardern, PM Termuda New Zealand Sejak 150 Tahun Lalu

Sejak kebelakangan ini, pelbagai negara telah menyaksikan kebangkitan golongan muda dalam memegang jawatan-jawatan besar dalam arena politik, dan salah satunya adalah pelantikan Jacinda Ardern, 37, sebagai perdana menteri New Zealand yang termuda sejak 150 tahun lalu.

Ardern telah berjaya memenangi hati pengundi menerusi kempen-kempennya dalam pilihan raya sengit pada bulan September, di mana beliau merancang untuk melaksanakan pendidikan percuma di peringkat tertiari, dekriminalisasi pengguguran, mengurangkan kemasukan warga asing (imigran), menyelamatkan kanak-kanak dari kemiskinan, memperbaiki sistem penjagaan kesihatan, dan juga memperjuangkan isu rumah mampu milik.

Beliau telah memegang jawatan sebagai pemimpin kepada Parti Buruh (parti pembangkang) pada 1 Ogos 2017, dan telah menjadi Ahli Parlimen (MP) untuk Mount Albert sejak pada 8 Mac 2017.

Pelantikannya sebagai perdana menteri New Zealand secara rasmi pada 26 Oktober juga menjadikan beliau pemimpin wanita paling muda dalam sejarah dunia.

Ardern yang mempunyai hobi sebagai seorang DJ pada masa lapang, membesar sebagai penganut agama Mormon, namun memutuskan untuk meninggalkan agama tersebut atas sebab pendirian anti-homoseksual yang dibawa oleh ajaran tersebut.

 

MEMULIHKAN HARAPAN PARTI BURUH

Memetik laporan The Guardian, pengundi amat tertarik dengan keyakinan diri serta perwatakan Arden, dan ‘semangat orang muda’ yang ada dalam diri beliau dilihat sebagai elemen yang amat diperlukan untuk mengubah Parti Buruh menjadi sebuah parti yang kukuh.

Menurut seorang ahli politik veteran negara itu, Winston Peters, 72. Ardern menghidupkan semula ‘tuah’ Parti Buruh apabila dilantik menjadi pemimpin parti tersebut hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya berlangsung.

Peters yang juga memegang jawatan timbalan perdana menteri merangkap menteri luar berkata, Ardern menunjukkan bakat yang amat luar biasa di dalam kempennya sekali gus memberi impak yang amat besar kepada parti yang dikatakan ‘tidak mempunyai harapan’ tersebut.

 

MENJADI FENOMENA ANTARABANGSA

Ardern juga telah menjadi satu fenomena antarabangsa apabila beliau menjadi topik perbualan utama susulan komennya terhadap soalan seksis yang ditujukan kepadanya dalam satu temu-bual.

Ardern ditanya sama ada beliau sudah mempunyai perancangan untuk mempunyai anak atau tidak, dan pemimpin muda itu melabelkan ‘soalan’ seperti itu sebagai satu perkara yang tidak boleh diterima dan tidak patut ditujukan kepada wanita zaman ini

“Ia tidak dapat diterima bahawa walau pada tahun 2017, para wanita perlu menjawab soalan sebegitu di tempat kerja… kerana ia adalah keputusan wanita tersebut untuk memilih untuk mempunyai anak. Isu ini tidak sepatutnya menentukan sama ada mereka akan diberi pekerjaan, atau mempunyai peluang pekerjaan,” tegasnya.

 

PARTI KEBANGSAAN MENGAKU KALAH, TETAPI TETAP MENGIKTIRAF PENCAPAIAN ARDERN.

Untuk pengetahuan anda, Parti Kebangsaan (parti pemerintah sebelum ini) telah berkuasa dan memenangi  pilihan raya selama sembilan tahun, dan kemenangan Parti Buruh pada kali ini telah membuatkan mantan Perdana Menteri, Bill English kecewa dengan hasilnya.

Namun begitu, beliau tetap mengaku kalah dan mengiktiraf pencapaian luar biasa yang dilakukan oleh Ardern.

“Ia merupakan satu prestasi yang amat luar biasa kerana pada 10 atau 12 minggu yang lalu Ardern adalah timbalan ketua pihak pembangkang yang hampir gagal,” katanya.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker