Isu SemasaTempatan

Malaysia Sasar Jadi Hab Kenderaan Elektrik Menjelang 2030

Malaysia bermatlamat untuk menjadi hab pasaran kenderaan elektrik dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kenderaan elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya menjelang tahun 2030.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili dalam satu kenyataan pada bulan April berkata, matlamat tersebut ditetapkan dalam Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan Electric Mobility Blueprint (EMB).

“Dengan sasaran itu, sektor pengangkutan kerajaan perlu memulakan langkah untuk membangunkan Sektor Teknologi Hijau dengan lebih agresif,” katanya.

Dalam pada itu, kesedaran dalam kalangan rakyat juga memainkan peranan yang amat penting untuk merealisasikan matlamat berkenaan dan menghasilkan landskap mobiliti rendah karbon di Malaysia.

Beliau berkata, pengguna perlu yakin bahawa kenderaan elektrik merupakan salah satu pilihan yang setanding dengan kenderaan yang sedia ada pada masa kini.

TUJUAN PELAKSANAAN PELAN INDUK TEKNOLOGI HIJAU NEGARA DAN EMB

Menurut Ongkili, pelaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan EMB bertujuan untuk menangani isu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri kenderaan elektrik.

“EMB adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik bagi mengantikan kenderaan diesel/petrol. Peluasan penggunaan kenderaan elektrik adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang menjadi sumber tenaga bagi semua pengangkutan udara, marin dan darat,” katanya.

Ketika melancarkan Program Sikal Elektrik Rakyat 1Malaysia (SER1M) di Universiti Malayisa Sabah (UMS) pada 11 April, beliau menyatakan bahawa Kementerian Keweangan telah memperuntukkan dana bernilai RM 4 juta pada tahun 2016 untuk melaksanakan SER1M, dan kementeriannya dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana.

PROGRAM SER1M

Program SER1M bertujuan untuk mempromosikan teknologi hijau melalui amalan hijau kepada golongan muda, khususnya para pelajar universiti.

Di bawah program berkenaan, sebanyak 1,200 buah basikal elektrik atau Electric Pedal Assisted Bicycle (EPAB) akan diserahkan kepada 6 buah universiti awam (termasuk UMS), iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak.

Ini bermakna, setiap universiti akan mendapat 200 buah basikal elektrik tersebut, dan UMS merupakan universiti yang pertama untuk menerimanya.

Difahamkan, basikal elektrik yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan bernama Voltron Malaysia Sdn Bhd berkemampuan untuk mendaki bukit setinggi 30 darjah dengan mudah sekali gus menjadi amat sesuai dengan keadaan universiti di Malaysia.

KELANTAN BAKAL PERKENAL BAS ELEKTRIK

Baru-baru ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan bahawa ia bakal memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik pertamanya yang dijangka akan mula beroperasi pada tahun hadapan.

Ia akan disediakan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menerusi anak syarikatnya, Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) khas untuk penduduk di negeri itu.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyatakan bahawa kemudahan tersebut sejajar dengan hasrat kerajaan negeri umembangunkan teknologi hijau serta mesra alam.

Bas tersebut menggunakan teknologi hijau tanpa petroleum dan kos untuk sebuah bas bernilai RM 1.2 juta.

Ia juga mempunyai kapasiti untuk membawa 40 penumpang pada setiap masa dan boleh bergerak dengan kelajuan 80 kilometer sejam.

Che Abdullah berkata, bas ini akan beroperasi di sekitar bandar Kota Bharu sahaja sebagai permulaan, dan pihaknya juga masih menjalankan kajian untuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai untuk menempatkan stesen pengecas.

Walau bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai laluan lain yang terlibat, jumlah bas elektrik serta kadar tambang masih belum didedahkan setakat ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker