AntarabangsaIsu Semasa

Majoriti Golongan Muda ‘Pandang Serong’ Terhadap Pekerja Asing

Kajian terbaru yang dilakukan oleh Centre for strategic and International Studies (CSIS), iaitu sebuah pusat pemikir yang berpangkalan di Jakarta, mendapati bahawa golongan millennial di Indonesia yang berusia di antara 17 dan 29 tahun, menunjukkan kecenderungan xenofobia yang amat kuat.

Kira-kira 77.7% millennial di negara itu mempunyai pandangan yang buruk terhadap impak pekerja asing terhadap ekonomi, di mana mereka mempercayai bahawa warga asing yang bekerja di sana ‘merampas’ pekerjaan daripada penduduk tempatan.

Memetik laporan Straits Times, hasil kajian ini amat membimbangkan bukan sahaja kerana Indonesia mempunyai pekerja asing yang lebih sedikit berbanding Singapura, Malaysia dan Thailand, tetapi juga kerana persepsi negatif itu muncul sementara negara tersebut sedang menikmati pertumbuhan ekonomi yang sihat.

Tetapi, apakah yang akan mereka lakukan sekiranya ekonomi negara menjadi buruk?

Golongan millennial yang mempunyai persepsi buruk terhadap pekerja asing berada di ‘landasan’ yang salah  kerana mitos “pekerja asing mencuri pekerjaan daripada warga tempatan” telah lama dibuktikan tidak benar.

Malah, pengambilan warga asing ke dalam sesebuah negara merupakan antara cara yang terbaik untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan ini menjelaskan mengapa Canselor Jerman, Angela Merkel ingin membawa masuk ratusan ribu imigran ke dalam negaranya sejak beberapa tahun yang lalu.

Dalam pada itu, dengan kewujudan internet yang memberi akses terhadap maklumat tanpa had, golongan millennial akan menghadapi masalah besar sekiranya mereka tidak berhati-hati dengan maklumat yang diperoleh.

Cuba bayangkan, sekiranya mereka terlalu mudah mempercayai segala maklumat (walaupun salah) yang diperoleh daripada internet, ini bermakna bahawa mereka boleh menerima apa-apa sahaja idea, walaupun ia merupakan sebuah idea yang salah.

Tambah laporan Straits Times lagi, sikap negatif terhadap pekerja asing pada hari ini juga boleh menyumbang kepada sikap perkauman yang amat berbahaya sekiranya millennial sentiasa terdedah dengan idea dan pandangan yang menggalakkan prasangka terhadap individu yang berlainan latar belakang etnik atau agama.

Selain itu, golongan belia juga memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan keputusan sesuatu pilihan raya itu, dan mereka perlu lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang keputusan.

Kebangkitan sentimen nasionalis di pelbagai bahagian di serata dunia, daripada Brexit, pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat dan juga kemenangan pemimpin Austria, Sebastian Kurz (individu termuda di dunia untuk menjadi pemimpin negara), ia sepatutnya menjadi pengajaran bahawa pengundi boleh membawa kepada satu arah yang disangkakan mustahil beberapa tahun dahulu, namun tidak lagi pada zaman ini.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker