AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Lubnan Isytihar Perang Terhadap Arab Saudi?

Baru-baru ini, Arab Saudi telah menuduh Lubnan mengisytiharkan perang ke atas mereka susulan tindakan agresif yang dilakukan oleh kumpulan Hezbollah yang mendapat sokongan Iran.

Menteri Hal Ehwal Teluk Arab Saudi, Thamer al-Sabhan berkata, kerajaan Lubnan akan “ditangani sebagai kerajaan yang mengisytiharkan perang terhadap Arab Saudi.”

Memetik laporan Reuters, Lubnan telah ke ditarik ke dalam konflik serantau di antara Arab Saudi dan Iran sejak ahli politik Lubnan yang bersekutu dengan Arab Saudi, Saad al-Hariri meletak jawatan sebagai perdana menteri pada hari Sabtu, sambil menyalahkan Iran dan Hezbollah.

“Lubnan mesti tahu tentang semua risiko ini dan (perlu) berusaha untuk menyelesaikan perkara ini sebelum mereka mencapai tahap tidak boleh berpatah balik,” kata Thamer.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci mengenai tindakan yang mungkin akan diambil oleh Arab Saudi terhadap Lubnan.

Difahamkan, Lubnan merupakan sebuah negara yang lemah dan dibelenggu bebanan hutang yang banyak, dan negara itu juga masih dalam proses pemulihan daripada kerosakan yang disebabkan oleh perang saudara yang berlaku pada tahun 1975-1990.

 

SIAPA HEZBOLLAH?

Hezbollah merupakan kumpulan bersenjata mazhab Syiah dan juga sebuah parti politik di Lubnan yang menjadi wakil dalam parlimen, serta sebahagian daripada kerajaan pimpinan Hariri yang dibentuk pada tahun lepas.

Kumpulan ini mula wujud selepas penjajahan tentera Israel terhadap selatan Lubnan pada tahun 1982 dan 2000.

Penubuhannya adalah hasil inspirasi kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979 yang dipimpin oleh ulama’ syiah terkenal bernama Ayatollah Ruhullah Khomeini.

Mereka juga mempunyai tentera gerilanya tersendiri, dan ia dikatakan mempunyai kekuatan yang lebih besar berbanding tentera Lubnan sendiri.

Difahamkan, Hezbollah telah memainkan peranan besar dalam peperangan di Syria, dan perkara itu disifatkan sebagai sebuah lagi ‘wayang’ dalam konflik Arab Saudi dan Iran, di mana mereka sebenarnya berjuang untuk menyokong kerajaan Iran.

 

PLOT MEMBUNUH SAAD AL-HARIRI

Dalam ucapan peletakan jawatannya, Saad menyatakan bahawa terdapat sebuah rancangan untuk membunuhnya

Beliau turut ‘menghentam’ Hezbollah dan Iran, dengan menuduh bahawa mereka adalah penyebab ketegangan yang berlaku dalam dunia Arab.

Namun, pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah enggan memberi komen terhadap ucapan Saad, sambil menyifatkannya sebagai “kenyataan Arab Saudi”, di mana beliau mendakwa bahawa negara itu telah memaksa Hariri untuk meletak jawatan.

Membalas kenyataan Nasrallah, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Jubeir berkata, ia adalah satu perkara yang “tidak masuk akal” untuk mencadangkan peletakan jawatan saad.

Jubeir sebaliknya menuduh Hezbollah sebagai pembuat keputusan disebalik peletakan jawatan ahli politik itu.

Dalam pada itu, krisis ini juga boleh memburukkan lagi ketegangan di antara Sunni dan Syiah serta menjejaskan kerajaan Lubnan sekali lagi.

Walau bagaimanapun, semua pihak menyeru supaya segalanya diselesaikan dengan aman dan setakat ini tiada sebarang petanda huru-hara sejak Saad meletak jawatan.

 

KONFLIK ARAB SAUDI DAN IRAN DALAM PEPERANGAN YAMAN

Peperangan di antara Arab Saudi dan Yaman tercetus selepas Houthi, kumpulan pemberontak Syiah yang mempunyai hubungan dengan Iran, ingin mengawal negara miskin itu.

Pada bulan Mei, Putera Mohammed telah dikritik di atas peranan pasukan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi dalam krisis kemanusiaan Yaman.

Namun, beliau berkata, negaranya tidak mempunyai pilihan lain dan perlu campur tangan dalam peperangan itu untuk menyokong sekutunya – kerajaan Abedrabbo Mansour Hadi yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ujarnya, kumpulan militia tersebut merupakan ancaman terhadap perdagangan antarabangsa di Lautan Merah.

“Sekiranya kami menunggu, ancaman tersebut akan menjadi lebih rumit, dan akan ada wujud ancaman terhadap Arab Saudi,” katanya.

Beliau juga mempertahankan keputusan Arab Saudi untuk menyertai peperangan itu kerana ia bertujuan untuk melindungi orang awam dalam perjuangan menentang Huthi dan sekutunya, iaitu bekas tentera yang setia dengan bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

Sabtu lalu, Arab Saudi telah berjaya memintas peluru berpandu balistik yang didakwa disasarkan ke atas Riyadh oleh Houthi di Yaman yang mengawal sebahagian besar negara itu termasuk Sanaa.

Putera Mohammed menuduh Iran membekalkan roket kepada kumpulan tersebut, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan campur tangan tentera secara langsung dalam konflik negara itu.

“Bekalan peluru berpandu oleh Iran kepada pergerakan Houthi boleh disifatkan sebagai perang ke atas Arab Saudi,” ujar Mohammed.

Namun, Iran menafikan dakwaan itu dan mengecam kenyataan Arab Saudi dan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai provokasi dan fitnah.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker