AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Cengkaman Kuasa Putera Mahkota Arab Saudi Semakin Kukuh

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman telah mengukuhkan lagi kuasanya dengan melancarkan sebuah operasi pembersihan anti-rasuah besar-besaran yang menyaksikan penahanan golongan elit seperti ahli keluarga diraja, menteri dan pelabur, termasuk ahli perniagaan terkemuka di negara itu, putera Alwaleed bin Talal.

Alwaleed merupakan anak saudara kepada Raja Salman dan juga pemilik syarikat pelaburan Kingdom Holding, dan beliau melakukan pelaburan dalam syarikat-syarikat gergasi seperti Citigroup dan Twitter.

Memetik laporan Reuters, beliau merupakan salah seorang daripada 11 putera, 4 menteri dan puluhan bekas menteri yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Pembersihan dalam arena politik dan perniagaan di Arab Saudi juga menyasarkan ketua Pengawal Negara, Putera Miteb bin Abdullah, dan tempatnya sebagai menteri digantikan oleh Putera Khaled bin Ayyaf.

Menurut seorang pegawai kerajaan,  Putera Alwaleed dituduh melakukan penggubahan wang haram, rasuah, dan turut memeras ugut pegawai kerajaan.

Putera Miteb pula dituduh melakukan penyelewengan, mengambil pekerja hantu dan memberi kontrak kepada syarikat miliknya sendiri termasuk perjanjian bernilai AS$ 10 bilion (RM 42.3 bilion) untuk radio dua hala (walkie talkie) dan peralatan kalis peluru tentera yang bernilai puluhan bilion.

Walau bagaimanapun, Reuters melaporkan bahawa segala tuduhan tersebut masih belum dapat disahkan secara bebas memandangkan ahli keluarga individu yang ditahan tidak dapat dihubungi.

 

PENUBUHAN JAWATANKUASA ANTI-RASUAH

Pada hari Sabtu, Raja Salman telah mengeluarkan dekri diraja yang mengarahkan penubuhan jawatankuasa anti-rasuah yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Mohammed Bin Salman.

Difahamkan, Mohammed yang kini berusia 32 tahun, merupakan anak kesayangan baginda yang telah meraih kuasa dan pengaruh dengan pantas sejak tiga tahun lalu.

Jawatankuasa anti-rasuah yang baru ditubuhkan ini diberi kuasa yang luas untuk menyiasat kes, mengeluarkan waran tangkap dan sekatan perjalanan, serta merampas aset milik suspek.

Menurut dekri tersebut, Arab Saudi tidak akan wujud melainkan rasuah dibanteras dan individu yang korup dibawa ke muka pengadilan.

 

PUTERA MOHAMMED KUKUHKAN KEDUDUKAN

Penganalisis menyatakan bahawa tangkapan yang dilakukan adalah satu lagi langkah awal yang diambil oleh putera mahkota dalam usaha membuang individu-individu yang berkuasa memandangkan beliau sedang berusaha untuk menguasai pengeksport minyak terkemuka di dunia.

Peristiwa ini serupa dengan peristiwa pada bulan Jun, di mana beliau ‘menggulingkan’ sepupunya, Mohammed bin Nayef, yang merupakan putera mahkota dan menteri dalam negeri pada waktu itu.

Sejak tahun lepas, Mohammed telah menjadi pembuat keputusan yang terbesar dalam isu ekonomi, ketenteraan, hal ehwal luar dan juga dasar sosial Arab Saudi, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan beberapa bahagian dinasti Al Saud kerana beliau meraih kuasa besar dengan begitu pantas.

Bercakap tentang penangkapan yang dilakukan, dekri diraja itu menyatakan bahawa tangkapan tersebut adalah tindakan balas terhadap “eksploitasi yang dilakukan oleh segelintir jiwa lemah yang meletakkan kepentingan peribadi mereka terdahulu di atas kepentingan awam, untuk mengumpul wang secara haram.”

 

AGENDA PEMBAHARUAN

Garisan di antara dana awam dan wang milik keluarga diraja tidak selalu jelas di Arab Saudi memandangkan negara itu mengamalkan sistem pemerintahan monarki secara mutlak, dan kebanyakan undang-undang tidak dikodifikasikan secara sistematik dan tidak wujud sebarang parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Reuters menyatakan bahawa WikiLeaks telah memperincikan mengenai jumlah besar wang yang diterima oleh setiap anggota keluarga Arab Saudi serta pelbagai skim membuat wang yang digunakan untuk membiayai gaya hidup mewah.

Penganalisis berkata, selain daripada membanteras rasuah, operasi pembersihan yang dilaksanakan oleh kerajaan negara itu juga bertujuan untuk ‘menghapuskan’ golongan yang berpotensi untuk membangkang agenda pembaharuan yang ingin dilakukan oleh putera mahkota.

Agenda pembaharuannya amat popular dalam kalangan populasi belia yang semakin berkembang, namun ia ditentang oleh segelintir ‘orang lama’ yang lebih selesa dengan tradisi asal negara itu.

Pada bulan September, Raja Salman telah mengumumkan pemansuhan sekatan memandu bagi kaum wanita, sementara Putera Mohammed pula sedang cuba memecahkan tradisi konservatif dengan mewujudkan hiburan awam dan menggalakkan lawatan pelancong luar ke negara itu.

Mohammed juga telah merangka rancangan ekonomi kukuh untuk Arab Saudi supaya mempelbagaikan hasil ekonomi dan tidak hanya bergantung pada minyak sahaja, selaras dengan Visi 2030 mereka.

Mohammed juga telah memotong perbelanjaan negara di beberapa bahagian dan merancang penjualan aset negara yang besar, termasuk sebahagian daripada syarikat minyak gergasi tempatan Saudi Aramco di pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Raja Salman dan Putera Mohammed juga amat komited untuk melakukan modernisasi dalam sistem pemerintahan Arab Saudi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker