AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Apa Pandangan Rakyat China Terhadap Donald Trump?

Pada hari Rabu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan mengadakan lawatannya ke China buat pertama kali sejak dilantik menjadi pemimpin Rumah Putih.

Memetik laporan South China Morning Post, Trump akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin China mengenai beberapa perkara, khususnya isu perdagangan dan program nuklear Korea Utara.

Difahamkan, jutawan hartanah itu dilihat sebagai seorang individu berprofil tinggi dan sering menjadi “tumpuan utama” media di sana, namun apakah pandangan rakyat China terhadapnya?

1. FEI DANYANG – PENGANALISIS KEWANGAN

Fei Danyang, seorang penganalisis kewangan berusia 42 tahun berkata, beliau tahu mengenai Trump sebelum ahli Republikan itu dilantik menjadi presiden lagi menerusi program realiti televisyennya bernama The Apprentice.

“Beliau (Trump) adalah seorang individu yang menarik, lebih jujur daripada Obama. Beliau bukan seorang ahli politik dan mempunyai ego yang besar…..jadi kejujurannya, dengan cara yang tidak sopan, agak tidak adil dan tidak mempedulikan perasaan orang lain,” katanya.

Menurut Fei, tingkah laku Trump yang kasar serta pandangannya yang jujur telah berjaya mendapatkan sokongan daripada rakyat Amerika kelas pertengahan dan juga penonton-penonton di China.

“Bagi kami, ia tida begitu berbeza daripada (rancangan televisyen) House of Cards. Ia seperti kami (di China) sedang melihat api dari seberang sungai. Kekecohan itu adalah milik mereka. Semakin dramatik, semakin menarik untuk ditonton,” ujar Fei.

2. LI DONGSHENG – BEKAS GURU DI AKADEMI TENTERA

Li Dongsheng, seorang pesara guru di sebuah akademi tentera amat gemar dengan gaya Trump.

“Sebagai seorang lelaki berusia 71 tahun, beliau (Trump) bersemangat dan bertenaga. Beliau bertindak di luar batasannya dan mengambil cabaran baru. Saya mengaguminya untuk itu.

“Beliau juga mempunyai personaliti yang luar biasa dan benci pada kekalahan….Saya rasa usia mentalnya agak muda,” katanya.

Namun pada Li, Trump tetap salah apabila beliau menuduh China menjadi tidak tegas dalam program nuklear Korea Utara kerana Beijing cuba untuk menyelesaikan isu tersebut menerusi perundingan.

Dalam pada itu, Li juga berbangga kerana Trump akan mendapat peluang untuk melihat perkara-perkara menarik di China semasa lawatannya nanti seperti Tembok Besar China dan juga Kota Larangan.

3. SUN CHENG – KAKITANGAN KERAJAAN

Menurut seorang kakitangan kerajaan bernama Sun Cheng, 30, pentadbiran Trump amat berbeza dengan Obama, di mana pendirian Trump terhadap dasar luar sangat tidak menentu.

“Itu adalah naluri seorang ahli perniagaan – oportunis. Jadi beliau mungkin lebih fleksibel berbanding Obama,” kata Sun.

Ujarnya lagi, Sun juga amat terkejut dan tidak menyangka kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS pada tahun lepas.

Beliau juga berpandangan bahawa peranan Trump sebagai Presiden AS menampilkan cabaran yang lebih besar terhadap China, dan presiden itu juga telah pun mengkritik China secara aktif mengenai isu perdagangan dan Korea Utara sebelum melakukan lawatan lagi.

“Seorang ahli perniagaan yang amat asli. Apabila beliau bercakap mengenai senjata dan artileri, beliau benarbenar bercakap tentang perniagaan.

“Jika Obama, beliau hanya akan lakukan apa yang disarankan oleh penasihatnya dan beliau tidak akan menjadi fleksibel,” katanya sambil menambah bahawa Trump mempunyai caranya tersendiri.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker