Isu SemasaTempatan

Rohana Mencipta Sejarah Sebagai Kapten Tentera Laut Wanita Pertama

Apabila Kapten Rohana Jupri menyertai Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia 33 tahun yang lalu, beliau tidak menyangka dirinya akan menjadi orang yang membuka  peluang untuk anggota tentera laut wanita yang lain.

Ibu kepada empat anak itu, kini menjadi wanita pertama dalam sejarah 83 tahun tentera laut yang dilantik menjadi kapten.

“Ini adalah saat yang membanggakan bagi saya dan ia sememangnya pengiktirafan tinggi daripada pihak atasan. Saya sangat bersyukur dengan pengiktirafan ini,” katanya.

Sebelum dilantik menjadi kapten, Kpt Rohana, 54, juga merupakan pegawai pemerintah wanita pertama di Depot Bekalan Angkatan Laut Barat di Lumut, Perak, dimana beliau mengawasi makanan, bahan bakar dan keperluan angkatan laut yang lain.

“Sebarang salah perhitungan dalam catuan boleh menjejaskan misi,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata kemahirannya dalam menangani masalah rumah membantunya mengatasi cabaran tersebut.

Dalam menjalankan tugasnya, wanita yang berasal dari Tanjung Karang itu menghabiskan masa empat jam setiap minggu untuk berulang-alik ke pangkalannya, dengan terpaksa meninggalkan suaminya Anuar Yahya, 57, dan anak-anaknya yang berusia antara 16 dan 21 di rumah, lapor the Star.

“Perjalanan ini agak memenatkan tetapi ia adalah tugas saya dan saya berharap saya dapat bersama keluarga saya setiap hujung minggu,” katanya.

Beliau menyifatkan kenaikan pangkatnya adalah berkat sokongan suaminya dan juga Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang mengiktiraf kemahiran dirinya.

Kpt Rohana kini mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi Laksamana wanita pertama.

“Saya rasa lelaki dan wanita boleh mencapai apa-apa jika mereka mempunyai azam.

“Lagipun, kami menerima latihan dan makanan yang sama. Kami hanya perlu membuktikan diri,” katanya.

Kpt Rohana berharap kenaikan pangkatnya akan memberi inspirasi kepada pegawai wanita yang lain untuk mempercayai kemampuan mereka dan bangkit untuk memegang jawatan yang lebih tinggi dalam tentera laut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker