FesyenGaya Hidup

Miss Universe Malaysia Pertaruh Gaun Nasi Lemak

Keunikan Malaysia sekali lagi cuba ditonjolkan dalam rekaan busana khas pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017, bagi mencuri perhatian bukan sahaja juri, malah peserta yang bertanding.

Tahun ini, keunikan negara sekali lagi dicernakan dalam rekaan busana yang membawakan tema ‘Nasi Lemak’ – sarapan tradisi negara yang bakal disarungkan oleh Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James.

Sama seperti bungkusan nasi lemak biasa, gaun berwarna putih ini memaparkan nasi lemak dengan sambal, dihiasi dengan kepingan timun, telur rebus, ikan bilis goreng, kacang panggang dan juga daun pisang sebagai ‘sayap’.

Menurut laporan Thestar, pereka Brian Khoo mengambil masa 400 jam untuk menyiapkan busana itu dalam masa sebulan.

“Saya dan pasukan saya ingin memberikan Samantha sesuatu yang unik dan ikonik untuk dipakai pada pertandingan tahun ini. Nasi Lemak adalah hidangan yang hanya boleh didapati di Malaysia dan ia adalah makanan yang boleh dinikmati oleh semua orang.

“Kami merasakan ia adalah kostum yang sempurna untuk menggambarkan keunikan Malaysia,” kata Khoo.

Gaun yang mula dipertontokan pada awal minggu ini mendapat pelbagai reaksi netizen, tidak kurang yang memberikan maklum balas negatif. Pemenang Miss Universe Malaysia itu mengulas bahawa tidak mengendahkan komen negatif itu, sebaliknya berbangga kerana bakal memperagakan pakaian yang menggambarkan keunikan Malaysia.

Selain kostum kebangsaan, Samantha juga akan menggayakan gaun petang berwarna merah terang berkilau yang juga direka oleh Brian Khoo.

Samantha, 22, akan bertanding menentang 41 wakil Miss Universe lain dalam edisi ke-66 acara antarabangsa popular itu di Las Vegas pada 26 November ini. Model sejak 17 tahun, kerjaya Samantha telah membawanya ke Amerika Syarikat, Brazil, India dan Thailand. Dia juga telah membuat iklan dan filem di Indonesia dan China.

kostum kebangsaan miss universe malaysia 2016

Tahun lepas, Miss Universe Malaysia 2016 yang diwakili Kiran Jassal, juga memakai pakaian menarik perhatian yang direka oleh pereka fesyen tempatan Rizman Ruzaini pada pertandingan Miss Universe.

Kiran memperagakan kostum khas dengan replika menara berkembar KLCC tersemat di bahagian bahu. Kostum yang merangkumi reka bentuk futuristik itu dipadankan dengan kasut tinggi paras lutut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker