Hiburan

Beyonce Bintangi Filem The Lion King

Disney secara rasminya memperkenalkan senarai penuh pelakon yang akan membintangi filem ‘remake’ The Lion King yang akan datang. Beyonce, yang sebelum ini dilaporkan antara yang diintai untuk membintangi filem itu, telah disahkan akan membawa watak Nala, rakan permainan Simba yang dilakonkan oleh Donald Glover.

Beyonce akan bekerjasama dengan pengarah Jon Favreau, yang baru-baru ini telah mengarah beberapa filem blockbuster termasuk filem Iron Man dan The Jungle Book.

“Ia adalah mimpi semua pengarah untuk bekerjasama dengan satu pasukan berbakat besar seperti ini untuk menghidupkan cerita klasik epik ini,” kata Favreau.

Berikut adalah senarai penuh pelakon-pelakon yang turut terlibat:

James Earl Jones memainkan peranan sebagai Mufasa, ayah Simba seperti filem asal 1994, sementara Chiwetel Ejiofor membawa peranan penjahat sebagai Scar. Alfre Woodard akan memberi suara kepada Sarabi, ibu Simba dan pelakon kanak-kanak, JD McCrary memainkan watak Simba ketika kecil. Shahadi Wright Joseph menyuarakan watak Nala sewaktu muda.

Pelakon lain yang membawa watak protagonis termasuk John Kani sebagai Rafiki si Babun dan John Oliver menyuarakan watak Zazu, sahabat Mufasa.

Simba akan bertemu dua sahabat baru, warthog Pumbaa (Seth Rogen) dan meerkat Timon (Billy Eichner). Tiga watak antagonis lain pula akan disuarakan oleh pelakon Black Panther iaitu Florence Kasumba, Eric Andre dan Keegan-Michael Key.

Filem asal The Lion King mengutip lebih daripada $ 968 juta di seluruh dunia dan menampilkan lagu-lagu yang tidak dapat dilupakan dari Elton John dan Tim Rice.

Filem itu juga kekal relevan melalui dua puluh tahun berturut-turut sebagai muzik Broadway, memenangi enam anugerah Tony. The Lion King adalah teater muzikal yang memungut kutipan tertinggi sepanjang masa, mencecah $ 6.2 bilion pada tahun 2014.

The Lion King mengisahkan tentang pengembaraan singa muda Simba, pewaris takhta bapanya, Mufasa. Scar, adik Mufasa, membuat plot untuk merampas takhta Mufasa. Simba melarikan diri atas kematian bapanya dan kembali sebagai singa dewasa untuk menuntut takhta dari Scar.

Menurut hollywoodreporter, filem The Lion King baru akan ditayangkan pada musim panas tahun hadapan bermula 19 Julai, 2019.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker