Bisnes & Ekonomi

Malaysia di Tangga ke-24 Dalam Ekonomi Dunia

Malaysia kekal berada dalam kedudukan 25 teratas di antara 190 ekonomi dunia tahun ini dalam laporan terkini World Doing Business (Laporan Menjalankan Perniagaan), dengan iklim perniagaan yang menggalakkan. Laporan ini meliputi pengumpulan data dari 2 Jun 2016 hingga 1 Jun 2017.

Pada kedudukan ke-24, Malaysia berada pada kedudukan yang lebih rendah sedikit daripada tempat ke-23 yang dicapai tahun lepas, lapor Bernama.

Biarpun mengalami sedikit penurunan dari segi kedudukan, namun Malaysia mencatat peningkatan skor ‘jarak ke hadapan’ (DTF) sebanyak 0.96 kepada 78.43 berbanding 77.47 sebelumnya.

Penurunan kedudukan itu disebabkan hasil pembaharuan dilaksanakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan kenaikan Skor DTF sebanyak 1.87, membolehkan kedudukan negara itu naik mendadak dari 26 pada tahun lalu kepada 21 tahun ini.

Di peringkat Asia Timur dan Pasifik, Malaysia mengekalkan kedudukannya di tempat keempat selepas Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018: Pembaharuan Untuk Mencipta Kerja, adalah laporan ke-15 dalam satu siri laporan tahunan yang mengukur peraturan yang mempengaruhi 11 skop sesuatu perniagaan.

Antara bidang yang diambil kira ialah kemudahan menjalankan perniagaan, memulakan perniagaan, berurusan dengan permit pembinaan, mendapatkan elektrik, mendaftarkan harta, mendapatkan kredit, melindungi pelabur minoriti, membayar cukai, berniaga merentasi sempadan, menguatkuasakan kontrak, menyelesaikan insolvensi dan juga mengukur peraturan pasaran pekerja, yang belum dimasukkan dalam ranking.

Menurut laporan itu, Malaysia melaksanakan tiga pembaharuan perniagaan sepanjang tahun lalu, iaitu mendapatkan kredit, urus niaga rentas sempadan dan melindungi pelabur minoriti.

Bagi meningkatkan akses mendapatkan kredit, Malaysia menguatkuasakan undang-undang baharu iaitu Akta Syarikat 2016 membolehkan penubuhan pendaftaran cagaran yang moden.

Selain itu, Malaysia juga memudahkan lagi proses eksport dan import dengan meningkatkan infrastruktur, peralatan dan kemudahan di pelabuhan Klang dan mengurangkan masa untuk proses import dari 72 jam pada 2015/2016 kepada 69 jam pada 2016/2017.

Dalam melindungi pelabur minoriti, Malaysia berada di kedudukan ke-4, tempat yang memerlukan ketelusan korporat yang tinggi, selain mengatasi penyalahgunaan aset syarikat bagi kegunaan peribadi.

Keseluruhannya, laporan itu menyenaraikan New Zealand sebagai yang paling mesra perniagaan di dunia, di hadapan Singapura dan Denmark, diikuti oleh Korea Selatan dan Hong Kong.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker