AntarabangsaIsu Semasa

Penyerang New York Sah Anggota Militan IS

Pada hari Khamis, kumpulan militan IS mengakui bahawa penyerang bandar New York di Amerika Syarikat (AS) merupakan salah seorang anggota mereka, menurut sebuah kumpulan pemantau yang berpangkalan di AS bernama SITE Intelligence Group.

SITE berkata, militan IS, menerusi akhbar mingguan mereka bernama Al-Naba menyatakan bahawa Sayfull Saipov, 29, yang berasal dari Uzbekistan telah menyerang ‘tentera salib’ di bandar New York.

“Salah seorang tentera IS telah menyerang beberapa orang ‘tentera salib’ di sebuah jalan di Bandar New York,” kata kumpulan itu.

Terkini, Saipov didakwa atas kesalahan melakukan keganasan selepas merempuh pejalan kaki dan penunggang basikal di sebuah laluan sikal dengan menggunakan trak pikap yang disewa olehnya kira-kira satu jam sebelum melancarkan serangan.

Berdasarkan dokumen dakwaan, suspek mengakui melancarkan serangan tersebut di atas nama militan IS dan turut “berasa bangga dengan apa yang telah dilakukan.”

Bukan itu sahaja, malah dia juga dikatakan membuat permintaan untuk menggantung bendera IS di dalam bilik wadnya di hospital.

Menurut pihak polis, Saipov telah mengikuti “arahan-arahan” yang dikeluarkan oleh kumpulan militan itu kepada pengikut-pengikut mereka di media sosial dengan amat teliti.

Memetik laporan Arab News, suspek juga dikatakan memiliki tiga bilah pisau, ribuan gambar propaganda militan IS dan puluhan video yang menunjukkan pejuang-pejuang IS membunuh tahanan mereka.

Tragedi berdarah yang berlaku pada hari Selasa itu telah mengorbankan 8 nyawa, termasuk 5 orang rakyat Argentina dan seorang warga Belgium manakala lebih daripada 12 orang mangsa turut tercedera.

Difahamkan, Saipov telah berpindah secara sah ke AS pada tahun 2010 dan juga pernah bekerja sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing Uber di negara itu.

Pada hari kejadian, dia mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditembak oleh polis dan kemudian ditangkap dan diberi rawatan serta pembedahan.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker