AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kerjasama Jepun, Filipina dan AS Penting Untuk Kestabilan Asia

Kerjasama di antara Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Asia Tenggara memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan kestabilan Asia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di Tokyo, di mana mereka telah bersetuju untuk memberi tekanan yang lebih kuat terhadap Korea Utara, antaranya adalah mengenakan sekatan seperti terhadap negara itu selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Duterte juga memaklumkan kepada Abe bahawa beliau menyeru semua negara yang terlibat untuk mengadakan perbincangan lagi, kerana tekanan diplomatik dan ketenteraan ke atas Pyongyang perlu diselesaikan menerusi dialog.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk memperkukuhkan perkongsian strategik di antara Jepun dan Filipina, dan rancangan itu dilaporkan bernilai kira-kira AS$ 11.9 bilion (RM 50.4 bilion).

Memetik laporan Straits Times, Abe turut menekankan dasarnya dalam menggalakkan kerjasama di antara Jepun dan Filipina untuk menangani pelbagai masalah yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara, termasuk ancaman nuklear Korea Utara, kestabilan Laut China Timur dan Selatan, serta tindak balas menentang keganasan.

Pada pertengahan bulan November ini, Duterte akan mempengerusikan sebuah mesyuarat persidangan yang berkaitan dengan Asean.

Presiden AS, Donald Trump juga dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke negara-negara Asia buat pertama kali.

Oleh itu, ia amat penting bagi Abe dan Duterte untuk mengesahkan kepentingan kerjasama Jepun-Filipina sebelum acara-acara yang lebih penting berlangsung.

Sementara itu, hubungan di antara AS dan Filipina bertambah buruk selepas bekas presiden Barack Obama mengkritik kempen perang dadah brutal Duterte.

Namun, hubungan kedua-dua negara itu dilihat semakin bertambah baik secara berperingkat apabila pentadbiran Trump bekerjasama dengan Filipina untuk membanteras kumpulan militan.

Kestabilan hubungan AS-Filipina akan memanfaatkan Jepun, di mana Abe perlu memainkan peranan sebagai orang tengah untuk AS dan Filipina dengan menggunakan pengalaman diplomatik beliau selama 5 tahun dari segi mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin lain.

Kali ini, fokus utama persidangan berkaitan Asean adalah tentang bagaimana cubaan unilateral China untuk mengubah status quo secara paksa perlu dinilai, seperti usaha mereka untuk mewujudkan pangkalan tentera di Laut China Selatan.

Duterte dan Abe telah membincangkan perkara itu, namun masih belum mendapat sebarang jalan penyelesaian.

Difahamkan, Filipina telah menangguhkan untuk berurusan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah timbang tara untuk menolak tuntutan China ke atas hak kedaulatan di perairan itu pada Julai lepas.

Perkara ini dilihat sebagai sokongan yang diberikan untuk membalas jasa baik China dalam memberi bantuan ekonomi.

Walau bagaimanapun, Laut China Selatan merupakan laluan laut yang penting, dan masalah untuk mendapatkan kebebasan navigasi tidak hanya terhad kepada negara-negara yang terlibat dalam pertikaian itu.

Walaupun China dan negara-negara Asean bersetuju dengan rangka kerja Kod Tata Laku (COC) yang bertujuan untuk mencegah konflik di perairan itu, ia masih tidak jelas sama ada COC itu akan terikat secara sah atau sebaliknya.

Faktor disebalik perkara ini adalah kekuatan ekonomi dan ketenteraan China.

Pada bulan Oktober, Pentadbiran AS melaksanakan Operasi Kebebasan Navigasi di Laut China Selatan, dengan menghantar kapal perang di kawasan itu.

Jepun akan memberi Filipina dua pesawat latihan daripada Maritime Self-Defense Force tanpa mengenakan sebarang bayaran, sekali gus dapat membantu meningkatkan keupayaan keselamatan negara itu.

Dalam pada itu, Jepun dan AS pula perlu terus membantu negara-negara Asia Tenggara dari aspek ketenteraan dan juga ekonomi.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker