Isu SemasaTempatan

Rakyat Malaysia “Untung Besar” Dengan Kewujudan HSR KL-Singapura

Stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura bakal menjadi hab dan pintu masuk ke bandar-bandar moden dan yang paling maju di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, wawasan ini merupakan elemen yang sama penting yang akan memacu negara kita ke arah mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Selain merevolusikan hubungan antara dua kuasa ekonomi utama Asia Tenggara itu, HSR juga pada dasarnya akan menggabungkan bandar-bandar yang berpeluang mendapat manfaat daripada rangkaian meluas permintaan pasaran yang besar, tenaga kerja, prasarana dan kluster peluang perniagaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, projek HSR ini juga akan menjadikan negara sebagai destinasi pilihan untuk melakukan pelaburan di rantau ini, sekali gus menyediakan peluang pelaburan dan pempelbagaian yang lebih besar dan luas.

Difahamkan, HSR KL-Singapura dijangka akan mula beroperasi pada 2026, dan ia menghubungkan bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Bangi, Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

5 NEGARA BERMINAT BANGUNKAN PROJEK HSR

Pada bulan Disember lalu, kerajaan Malaysia dan Singapura telah memuktamadkan perjanjian untuk melaksanakan projek HSR yang dianggarkan bernilai dalam lingkungan RM 60 bilion hingga RM 65 bilion.

Sehubungan dengan itu, beberapa buah negara maju termasuk Jepun, England, China, Sweden dan Sepanyol telah menyatakan hasrat dan minat mereka untuk membangunkannya.

Setiap negara juga telah menghantar delegasi masing-masing ke Malaysia yang terdiri daripada pemimpin kerajaan dan juga pakar industri kereta api laju mereka untuk membentangkan cadangan pembangunan.

Memetik laporan Berita Harian pada bulan April, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, mengatakan bahawa kesemua negara tersebut telah pun menawarkan keunikan dan kepakaran teknologi mereka untuk digunakan dalam projek berkenaan.

JEPUN PALING “MENYERLAH”

Daripada semua negara yang berminat dengan projek ini, Jepun merupakan negara yang paling menyerlah dan benar-benar bersemangat untuk membangunkan HSR kerana sudah mempunyai pengalaman selama 50 tahun dalam mengendalikan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen.

Dalam satu kenyataan awal tahun ini, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata, Shinkansen merupakan kereta api HSR yang tidak pernah mencatatkan sebarang kes kehilangan nyawa disebabkan kemalangan sepanjang tempoh 50 tahun ia beroperasi.

Bukan itu sahaja, malah dari aspek kecekapan pula, kelewatan purata perkhidmatan tren itu juga hanya satu minit dalam setahun.

“Kita bersedia membuat pemindahan teknologi dan membangunkan sumber manusia agar warga Malaysia dan Singapura dapat mengendalikan operasi HSR sejak dari pertama,” katanya.

MANFAAT PEMBINAAN HSR KL-SINGAPURA DI MALAYSIA

Seperti yang telah dimaklumkan di atas, perkhidmatan HSR akan mempunyai 7 stesen di Malaysia, iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East, Singapura.

Cuba anda bayangkan, landasan kereta api sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mempercepatkan lagi tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan hanya mengambil masa 90 minit sahaja, dengan kelajuan lebih daripada 300 km sejam.

Selain daripada memendekkan waktu perjalanan, ia juga boleh akan dapat membantu dalam mengatasi masalah pengangguran kerana akan menyediakan sehingga 30,000 peluang pekerjaan baru.

PENDUDUK NEGERI SEMBILAN ANTARA YANG PALING “BERUNTUNG”

Dengan adanya HSR ini nanti, penduduk Negeri Sembilan hanya perlu mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja untuk pergi ke Kuala Lumpur.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, projek tersebut akan memudahkan penduduk di negeri tersebut yang bekerja di Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, malah rakyat yang menetap di Negeri Sembilan dan bekerja di Singapura juga tidak perlu risau lagi kerana tempoh perjalanan hanya akan mengambil masa kira-kira 60 minit sahaja.

“Stesen HSR akan dibuat pada jajaran baharu di kawasan Labu. Laluan HSR dari Melaka akan melalui Pasir Panjang, Jimah, Sendayan dan seterusnya ke Labu.

“Ini pasti memudahkan penduduk yang bakal menggunakan perkhidmatan itu apabila siap kelak,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau turut yakin bahawa stesen HSR akan menjadi stesen yang sibuk di tengah kawasan Lembah Wawasan Malaysa (MVV), sambil berharap Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) atau komuter turut akan diwujudkan pada masa akan datang untuk dihubungkan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

7 TEMA UNIK BERLAINAN

Tujuh stesen HSR yang akan dibina nanti bakal menyaksikan elemen kepelbagaian budaya dan warisan bagi melambangkan keunikan Malaysia.

Setiap stesen dilaporkan akan membawa reka bentuk tersendiri yang menggariskan 7 tema utama iaitu MYGateway, MYPeople, MYVision, MYHeritage, MYFuture, MYCulture dan MYEncounter.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker