AntarabangsaIsu Semasa

Ganjaran Istimewa Untuk Pekerja Tidak Merokok

Umum mengetahui bahawa merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan diri sendiri, tetapi ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada orang sekeliling yang terbau asap yang dilepaskan.

Pelbagai inisiatif juga telah diambil untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya jangan merokok, namun ia ibarat ‘mencurah air ke daun keladi.’

Malah, walaupun rokok dijual dengan harga yang semakin tinggi, individu-individu yang merokok masih sanggup membelanjakan wang mereka untuk membeli sekurang-kurangnya sekotak rokok setiap hari.

Jadi, apakah langkah lain yang boleh diambil untuk menangani masalah ini dengan lebih berkesan?

Di Jepun, sebuah syarikat perundingan dan pemasaran komersi bernama Piala telah mengambil pendekatan yang unik dan berlainan dalam usaha menggalakkan kakitangannya supaya berhenti merokok.

Bagaimana mereka melakukannya?

Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), syarikat yang berpangkalan di Tokyo itu memberi ganjaran istimewa kepada staf-staf mereka yang tidak merokok, iaitu enam hari cuti berbayar, sebagai ‘pampasan’ untuk mengganti waktu-waktu yang diluangkan oleh kakitangan lain yang merokok di tempat kerja.

Piala memulakan program tersebut pada bulan September tahun ini selepas seorang kakitangan membuat aduan mengenai masa yang dibazirkan oleh rakan-rakan perokoknya yang kerap “menghilangkan diri” buat seketika untuk merokok.

“Disebabkan pejabat kami terletak di tingkat 29…..ia mengambil sekurang-kurangnya 10 minit bagi seorang perokok untuk turun ke bilik merokok di tingkat basement dan naik semula,” kata jurucakap syarikat, Hirotaka Matsushima.

Matsushima berkata, beliau tidak menafikan bahawa perbualan di bilik merokok kebanyakannya bercakap tentang kerja, di mana mereka akan bertukar idea dan pandangan.

Oleh itu, syarikat itu berpandangan ia adalah lebih baik untuk memberi ganjaran kepada kakitangan bukan perokok daripada menghukum perokok.

Dalam pada itu, program tersebut dilihat mendatangkan kesan yang memberangsangkan walaupun ia baru sahaja mula dilaksanakan selama dua bulan.

Piala mempunyai 120 orang kakitangan dan daripada jumlah itu, seramai 42 orang adalah perokok.

Daripada 42 orang perokok itu, seramai 4 orang telah berhenti merokok kerana ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.

“Jika mereka berjaya berpegang pada janji mereka (untuk tidak merokok) sepanjang tahun, mereka akan diberi 6 hari cuti tambahan yang berbayar,” kata Matsushima.

Jepun agak ketinggalan di belakang negara-negara maju lain dari segi dasar bebas merokok dan tekanan sosial untuk berhenti merokok juga tidak begitu kuat.

Namun, kebanyakan syarikat di negara itu telah mengharamkan kegiatan merokok di tempat kerja dan telah menubuhkan bilik-bilik untuk merokok dan penggunaan tembakau.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Jepun, kira-kira 28% perokok di sana adalah kaum lelaki manakala 9% adalah wanita.

Jadi, apa kata belia mengenai program yang diperkenalkan oleh syarikat Piala?

Adakah ia akan mampu menjadikan syarikat itu bebas perokok sepenuhnya? Dan wajarkah jika langkah yang serupa ini dilaksanakan di Malaysia juga?

Kadang kala, cara didikan yang terbaik bukanlah menghukum, tetapi dengan memberi didikan dan ganjaran yang setimpal.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker