Gaya HidupKesihatan

Apa Itu Sista Payudara?

Sista (cysts) payudara adalah pengumpulan cecair di dalam payudara, ia selalunya menyebabkan benjolan payudara yang anda boleh rasai. Menurut  Healthline sista biasanya bukanlah barah.

Menurut laman sesawang Breast Cancer anda boleh mempunyai satu atau banyak sista payudara dan ia boleh berlaku pada satu atau kedua-dua payudara. Sista payudara biasanya terasa seperti anggur atau belon yang dipenuhi air, tetapi kadang-kadang sista payudara boleh terasa tegang.

Tanda-tanda  dan gejala sista payudara

Menurut  Mayoclinic  antara tanda-tanda dan gejala sista payudara termasuklah:

  • Benjolan bulat atau bujur yang licin dan mudah digerakkan dengan tepi yang ketara (biasanya, walaupun bukan selalu, menandakan ia tidak berbahaya
  • Cecair dari puting yang mungkin jernih, berwarna kuning, jerami (warna), atau perang gelap
  • Sakit pada payudara atau sensitiviti di bahagian benjolan tersebut
  • Saiz benjolan payudara dan sensitiviti payudara meningkat sebelum haid
  • Saiz benjolan payudara mengecil selepas haid.

Mempunyai sista payudara tidak meningkatkan risiko untuk anda  menghidapi kanser payudara. Namun begitu jika anda mengalami sista mungkin lebih sukar bagi doktor anda untuk mencari benjolan payudara baru atau perubahan lain yang perlu diselidik.

Gambar menunjukkan pembentukan sista pada payudara

Jenis-jenis sista payudara

Sista payudara dikategorikan mengikut saiz mereka:

  • Microcysts terlalu kecil untuk dirasai, namun ia mungkin kelihatan semasa ujian pengimejan, seperti mamografi atau ultrabunyi
  • Macrocysts cukup besar untuk dirasai dan boleh berkembang menjadi kira-kira 1 hingga 2 inci (2.5 hingga 5 sentimeter). Sista payudara yang besar boleh memberi tekanan pada tisu payudara berdekatan, menyebabkan sakit pada payudara atau ketidakselesaan.

Punca terjadinya sista payudara

Setiap payudara mengandungi cuping tisu kelenjar, yang tersusun seperti kelopak daisy. Cuping-cuping ini dibahagikan kepada cuping yang lebih kecil yang menghasilkan susu semasa kehamilan dan menyusukan bayi. Tisu sokongan yang memberikan payudara bentuknya terdiri daripada tisu lemak dan tisu penghubung berserabut. Sista payudara terjadi akibat pengumpulan cecair di dalam kelenjar yang terdapat di dalam  payudara.

Gambar menunjukkan struktur payudara

Pakar tidak tahu apa sebenarnya punca sista payudara. Mereka mungkin terjadi akibat perubahan hormon disebabkan kedatangan haid. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa hormon estrogen yang berlebihan dalam tubuh boleh merangsang tisu payudara, seterusnya menyebabkan sista payudara.

Rawatan dan ubat-ubatan

Tiada rawatan diperlukan untuk sista payudara biasa – ia mempunyai cecair  serta tidak menyebabkan sebarang gejala. Hal ini mestilah disahkan ketika sesi ultrabunyi payudara atau selepas  prosedur sedutan menggunakan jarum halus.  Jika ketulan terus ada atau berasa berlainan dari semasa ke semasa, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor anda.

Sedutan jarum halus

Sedutan jarum halus boleh mengenalpasti dan merawat sista payudara jika doktor anda membuang semua cecair dari sista ketika mendiagnosis. Benjolan pada payudara serta gejala-gejala  lain akan hilang.

Namun begitu, untuk sesetengah sista payudara, cecair tersebut mungkin perlu disedut keluar lebih daripada sekali. Kejadian di mana sista berulang atau pertumbuhan sista baru adalah perkara biasa. Jika sista payudara terus wujud selepas dua hingga tiga kitaran haid dan tumbuh  dengan lebih besar, jumpa doktor anda untuk penilaian selanjutnya.

Penggunaan hormon

Menggunakan pil kawalankelahiran (pil kontraseptif) untuk mengawal kitaran haid anda dapat membantu mengurangkan pengulangan pertumbuhan sista payudara. Namun begitu, disebabkan kesan sampingannya yang ketara, pil kawalan kelahiran atau terapi hormon lain, seperti tamoxifen, biasanya hanya disyorkan pada wanita yang mengalami gejala-gejala yang teruk. Menghentikan terapi hormon selepas menopaus juga mungkin boleh membantu mencegah sista payudara.

Pembedahan
Pembedahan untuk mengeluarkan sista payudara hanya diperlukan dalam keadaan luar biasa. Pembedahan mungkin akan dipertimbangkan jika sista payudara yang menyebabkan ketidakselesaan berulang bulan demi bulan atau jika sista payudara mengandungi cecair berdarah atau menunjukkan tanda-tanda lain yang membimbangkan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker