AntarabangsaIsu Semasa

Anggota Militan Malaysia Menyerah Diri?

Awal minggu lepas, seorang militan rakyat Malaysia yang berada di Bandar Marawi, Filipina bernama Mohd Amin Baco yang juga dikenali sebagai “Abu Jihad”, telah menunjukkan tanda-tanda seperti ingin menyerah diri.

Menurut sumber risikan Filipina, Amin Baco merupakan ketua kumpulan IS dan Maute yang bersembunyi di sebuah masjid di kampung Sabala Manao di Marawi bersama kira-kira 30 orang anggota militan yang lain.

“Amin Baco telah menghubungi Joint Intel Task GroupĀ mengenai penyerahan diri mereka dan ia berada dalam proses,” kata sebuah sumber risikan.

Walau bagaimanapun, pasukan keselamatan Filipina mungkin tidak akan tunggu untuk perkara itu berlaku memandangkan mereka telah menempatkan penembak tepat di kawasan itu sekiranya perlu melancarkan serangan terhadap militan.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Filipina (AFP) menyatakan bahawa pasukan kerajaan sedang menyasarkan tiga orang anak ketua militan IS di Asia Tenggara, Isnilon Hapilon yang terbunuh dalam sebuah pertempuran dengan pasukan keselamatan, serta dua orang rakyat Malaysia termasuk Amin Baco, yang telah memimpin pergerakan pejuang-pejuang asing di rantau itu.

Memetik laporan The Star, Amin Baco berasal dari Tawau, Sabah, dan telah berkahwin dengan seorang wanita daripada keluarga Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang ‘terkemuka’ di Kepulauan Jolo, Selatan Filipina.

Bapa mertuanya pula adalah Hatib Sawadjaan, iaitu mendiang ketua sebuah puak ASG.

Amin Baco, 34, merupakan anggota kumpulan militan Darul Islam Sabah (DIS), yang merupakan cabang militan Darul Islam dari Indonesia dan Jemaah Islamiah.

Dia dipercayai bergerak di sekitar Sabah dan Indonesia untuk membantu perjalanan militan dan melakukan penyeludupan senjata di antara kedua-dua lokasi berkenaan.

Difahamkan, Amin Baco telah berada dalam senarai individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa sejak sebuah operasi pembanterasan DIS pada tahun 2006 lagi, di mana 16 anggota kumpulan itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (kini telah dimansuhkan) pada waktu itu.

Selain itu, dua orang anggota militan rakyat Malaysia, iaitu bekas pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Mahmud Ahmad dan bekas pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Muhammad Joraimee Awang Raimee atau “Abu Nur”, dilaporkan telah terbunuh di Marawi.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker