AntarabangsaIsu Semasa

Somalia Larang Penggunaan Kenderaan Besar Akibat Pengeboman

Berikutan insiden serangan bom yang berlaku di Mogadishu pada 15 Oktober, pihak berkuasa Somalia kini melaksanakan larangan penggunaan kenderaan-kenderaan besar seperti trak dan lori tangki pada waktu siang, dalam usaha meningkatkan keselamatan di bandar itu yang kerap menjadi sasaran militan.

Memetik laporan Reuters, lebih daripada 350 orang awam telah terkorban, dan insiden itu juga disifatkan sebagai serangan yang terburuk sejak tahun 2007.

Walaupun kumpulan militan Al-Shabab tidak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut, ‘kaedah’ yang digunakan adalah sama seperti yang dilaksanakan oleh mereka sebelum-sebelum ini.

“Trak dan lori tangki tidak boleh lalu… dari 7 pagi sehingga 8 malam. Ini adalah untuk memastikan keselamatan dan (untuk menawarkan) penyelesaian terhadap aduan orang ramai,” kata Tabid Abdi, Datuk Bandar Mogadishu dalam satu kenyataan. 

Mana-mana pemandu kenderaan jenis itu yang tidak mematuhi peraturan baru ini akan dikenakan denda sebanyak AS$ 1,000 (RM 4,237).

Namun, keadaan bertambah buruk apabila sekurang-kurangnya 29 orang telah terkorban pada hari Ahad baru-baru ini dalam serangan di sebuah hotel di Mogadishu.

Difahamkan, militan Al-Shabab mengaku menjadi dalang disebalik serangan tersebut yang menyaksikan pengepungan di hotel terbabit selama 12 jam.

Kerajaan juga telah memecat dua orang pegawai kanan keselamatan susulan tragedi berkenaan.

“Mereka (militan) menyarungkan pakaian seragam pasukan keselamatan, walaupun mereka tidak mempunyai kad pengenalan,” ujar Menteri Maklumat, Abdirahman Omar Osman.

Sementara itu, Al-Shabab mendakwa bahawa seramai 40 orang telah terbunuh, termasuk 3 orang pejuangnya yang menyerbu hotel itu.

Difahamkan, matlamat Al-Shabab adalah untuk menggulingkan kerajaan di Mogadishu bagi membolehkan mereka melaksanakan undang-undang radikal yang kononnya berlandaskan Islam. 

Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi Mohamed berkata, serangan terbaru militan bertujuan untuk mencetuskan rasa takut dalam kalangan beribu-ribu rakyat negara itu yang berarak di Mogadishu untuk membantah Al-Shabab selepas insiden pengeboman sebelum ini.

Sejak pengeboman itu berlaku, Abdullahi telah melawat negara-negara di rantau itu untuk mendapatkan bantuan dan sokongan bagi menentang militan Al-Shabab.

Tentera Amerika Syarikat (AS) juga telah meningkatkan operasi ketenteraan mereka terhadap kumpulan pelampau itu di Somalia pada tahun ini, di mana AS telah melancarkan hampir 20 serangan dron.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker