AntarabangsaIsu Semasa

Kerajaan Afghanistan Banteras Import Ubat Palsu

Kerajaan Afghanistan telah menggantung lesen lebih daripada 900 syarikat farmasi tempatan dan antarabangsa yang mengimport ubat-ubatan, atas dakwaan melakukan penyeludupan menjual ubat palsu serta melanggar beberapa peraturan lain.

Kementerian Kesihatan Afghanistan mengambil keputusan itu susulan kempen 12 minggu pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan mengimport dan menjual ubat-ubat palsu di seluruh negara yang sedang bergolak itu.

Pengarah National Medicine and Health Product Regulatory Authority (NMHPRA), Noor Shah Kamawal berkata, lesen milik 817 syarikat tempatan dan 113 syarikat antarabangsa itu telah dibatalkan terus.

“Kami telah menyasarkan syarikat-syarikat tersebut yang sentiasa melanggar peraturan dan undang-undang, (dan) mereka telah diberi tempoh satu bulan untuk menghentikan pelanggaran (tindakan mereka) dan mengongsikan dokumen-dokumen mereka dengan kami,” kata Kamawal.

Menurut Kementerian Kesihatan, import ubat di negara itu bernilai kira-kira AS$ 300 juta (RM 1.27 bilion) setiap tahun, terutamanya dari Paksitan, Iran, India, Turki dan Bangladesh.

Memetik laporan Anadolu Agency, lebih daripada 1,100 syarikat farmasi telah berdaftar dengan kerajaan Afghanistan.

Selain daripada operasi pembanterasan pengimport, NMHPRA juga sedang meneliti kira-kira 14,500 farmasi yang berdaftar di seluruh negara.

Dalam pada itu, Kamawal berkata, lebih daripada 100 tan ubat yang palsu dan telah tamat tarikh luputnya dirampas daripada syarikat farmasi yang berlainan menerusi kempen berkenaan setakat ini.

Sistem penjagaan kesihatan di Afghanistan telah lumpuh susulan keganasan yang berterusan lebih daripada 40 tahun, sekali gus menyebabkan golongan miskin dan memerlukan amat terdesak untuk mendapatkan bantuan kesihatan.

Walau bagaimanapun, golongan yang berkemampuan pula selalunya akan pergi ke Pakistan, India, dan Turki untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker