Hiburan

Thor: Ragnarok Saji Sisi Komedi Dewa Asgard

Selepas berjaya memukau penonton menerusi filem Thor pada 2011 dan Thor: The Dark World (2013), kini watak adiwira ikonik yang dilakonkan pelakon kelahiran Melbourne, Australia, Chris Hemsworth itu kembali dengan Thor: Ragnarok yang mula menemui penonton di negara ini mulai Khamis lalu.

Hampir keseluruhan landskap naskhah ini berubah menjadi lebih santai selain sarat dengan babak lucu terutama membabitkan watak Thor. Walaupun disuntik elemen jenaka, keunggulan yang dimiliki menjadikan watak dewa petir kelahiran Asgard ini tampak sempurna dengan personaliti sebegitu.

Konsep baru ini adalah antara perubahan yang dilakukan pengarah, Taika Waititi yang menjadikan filem itu tampak lebih menarik dan berbeza. Memiliki pengalaman sebagai pelawak dan mahir dalam mengarahkan karya komedi, Waitti menggunakan kelebihan itu untuk menambah warna dan resipi menarik untuk penonton menikmati pengalaman berbeza secara santai.

Hemsworth dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, filem terbabit disuntik dengan perubahan demi perubahan supaya kelihatan berbeza berbanding sekuel terdahulu, tulis harianmetro.

“Selepas berbincang dengan pihak penerbit, Kevin Feige kami akhirnya mendapat kata sepakat untuk menjadikan karya baru ini berbeza berbanding terdahulu. Elemen komedi adalah kelainan yang cuba diketengahkan dan saya sendiri gembira sepanjang menjalani penggambaran kerana kurang tekanan,” katanya.

Lebih menarik, siri baru filem ini menyaksikan adegan pertempuran dan kemunculan watak lain seperti Hulk, Doctor Strange dan Valkyrie serta kebangkitan Hela. Selain itu, imej Thor sendiri turut berubah apabila rambutnya kini dipotong pendek.

Sejak awal tayangan, penonton disogokkan dengan aksi hebat Thor menentang dewa kematian yang sudah lama menyimpan impian memusnahkan kota Asgard.

Sekembalinya Thor ke kota berkenaan, dia menemui adiknya Loki yang disangkakan sudah mati. Bagaimanapun, kehilangan bapanya Odin yang dihantar ke bumi membangkitkan kemarahan Thor terhadap saudaranya itu.

Pertemuan mereka dengan Odin di sebuah kawasan terpencil merungkai kisah kewujudan dewa kematian bernama Hela yang pernah dikurung kerana ketamakannya. Pembebasan Hela yang merupakan anak pertama Odin, ingin menuntut bela dan mahu menguasai takhta Asgard selepas kematian ayahandanya.

Menyedari niat Hela, Thor dan Loki cuba menghalangnya daripada memasuki kota. Namun, kedua-duanya terperangkap di planet Sakaar, manakala tukul Mjolnir milik Thor musnah ditangan Hela.

Bagaimanapun, di planet itu Thor ditemukan dengan teman seperjuangannya dalam Avengers, Hulk sekali gus membolehkan kedua-duanya berganding untuk menghapuskan Hela.

Mampukah Thor dan “Revengers” menyelamatkan Asgard dari kemusnahan? Saksikan Thor:Ragnarok di pawagam berhampiran anda untuk merasai pengalaman bergelak ketawa bersama dewa petir sambil beraksi menumpaskan penjahat.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker