Bisnes & Ekonomi

Apa itu ‘Abenomics’?

Abenomics

Apabila Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengisi jawatannya pada 26 Disember 2012, beliau telah menjanjikan satu siri dasar monetari, dasar fiskal dan pembaharuan ekonomi yang direka untuk menyelesaikan masalah makroekonomi Jepun. Dasar-dasar ini telah digelar sebagai “Abenomics” oleh ahli ekonomi dan pihak media. Ia adalah gabungan nama terakhir pemimpin “Abe” dan istilah “ekonomi”.

Terdapat tiga elemen penting dalam Abenomics iaitu, Pembentukan Semula Dasar Monetari, Pembentukan Semula Dasar Fiskal dan Pembentukan Semula Struktur menurut The Balance.

Pembentukan Semula Dasar Monetari

Kejayaan awal Abenomics berpunca daripada pembentukan semula dasar monetari yang bertujuan untuk mengurangkan kadar faedah sebenar dan meningkatkan kadar inflasi. Setelah berdekad- dekad deflasi dan stagflasi, ekonomi negara  tersebut telah bergelut untuk bersaing di dalam pasaran asing. Nilai yen yang tetap selepas 2008 juga tidak membantu, memandangkan harga barang eksportnya melonjak dengan ketara.

Dengan menggunakan pembelian aset terbuka, seperti Rizab Persekutuan A.S., bersama dengan pakej rangsangan, bank pusat ini berjaya mencapai kemajuan besar dalam melemahkan nilai yen Jepun pada separuh pertama tahun 2013. Hal ini telah membantu Nikkei melonjak dengan ketara.

Pembentukan Semula Dasar Fiskal

Pada bulan January 2013 Shinzo Abe telah melaksanakan pakej rangsangan fiskal yang bernilai sebanyak 10.3 trilion yen. Ia jauh lebih tinggi daripada yang pada mulanya telah diramalkan oleh ramai penganalisis.

Sebagai tambahan kepada perbelanjaan rangsangan ini,  Abe telah menggesa perbelanjaan fiskal untuk meningkat kepada 2% daripada KDNK dalam perancangan untuk meningkatkan inflasi melalui perbelanjaan di sektor awam selain di sektor swasta.

Abe merancang untuk membiayai tindakan-tindakan rangsangan dan program perbelanjaan lain dengan menggandakan cukai penggunaan kepada 10% pada tahun 2014-15, sambil melaksanakan beberapa pembentukan semula struktur yang direka untuk meningkatkan cukai dan seterusnya menghasilkan lebih banyak pendapatan untuk kerajaan. Namun pengkritik bimbang, bahawa tindakan-tindakan ini mungkin tidak mencukupi.

Pembentukan Semula Struktur

Bahagian ketiga dan paling kritikal  di dalam Abenomics adalah Pembentukan Semula Struktur, yang terbukti adalah bahagian yang paling sukar  untuk dilaksanakan. Pada awalnya Abe menggalakkan penyertaan Jepun dalam Perkongsian Trans-Pasifik dalam usaha untuk menghapuskan kelemahan dalam peraturan dan undang-undang yang boleh mengehadkan potensi jangka panjang ekonomi dan dengan itu mengurangkan potensi pendapatan cukai.

Antara bidang-bidang utama dalam pembentukan semula pengawalseliaan termasuklah pertanian, pekerjaan, tenaga/persekitaran, dan penjagaan kesihatan/perubatan. Memandangkan penduduknya yang semakin berusia, Abe berhasrat untuk membuat pembaharuan radikal yang juga boleh mengembangkan industri penjagaan perubatannya secara global. Walau bagaimanapun, kebanyakan pembaharuan ini boleh berisiko untuk mengasingkan parti LDPnya dari kumpulan pelobi utama.

Kesan-kesan positif penerapan Abenomics

Keadaan ekonomi Jepun terus bergerak maju ke arah pemulihan dengan pasaran buruh yang kuat, walaupun hubungannya dengan pihak luar seperti China, mungkin berhadapan dengan ketidakpastian. Disebabkan Abenomics, pendapatan korporat telah mencapai paras yang tinggi, peluang pekerjaan juga telah berkembang kepada lebih daripada dua juta pekerjaan. Manakala, nisbah kerja kosong terhadap permohonan yang aktif juga yang merupakan penanda kekuatan pasaran pekerjaan, telah meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh dua puluh empat tahun yang lalu. Selain itu, pertumbuhan pekerjaan juga memberi tumpuan pada golongan wanita. Bilangan wanita yang bekerja telah meningkat lebih dari 1.6 juta sejak Abe menjadi Perdana Menteri. Selain itu, pada masa yang sama pasaran saham telah mencatatkan pertumbuhan yang besar.

Abenomics pada mulanya berpihak pada syarikat-syarikat besar

Menurut The Star ketika Abenomics mula diperkenalkan pada tahun 2013, nilai yen yang jatuh menyebabkan keuntungan yang tinggi dikaut oleh pengeksport-pengeksport besar seperti Toyota Motor Corp.

Namun, bagi kebanyakan syarikat yang lebih kecil, ia berhadapan dengan masalah ketinggalan dalam pasaran yang sedia ada kerana mereka selalunya memberi tumpuan kepada pasaran domestik.

Fokus baru Ebonomics 2.0

 Abenomics 2.0

Kini Abenomics akan memasuki fasa kedua. Menurut SMAM Perdana Menteri Abe telah menamakan dasar ekonomi baru ini sebagai “Abenomics 2. 0”

Abenomics 2.0 bertujuan untuk meningkatkan potensi kadar pertumbuhan menerusi tiga fokus iaitu 1) Ekonomi teguh yang mewujudkan harapan, 2) Sokongan penjagaan kanak-kanak yang memupuk impian dan 3) Keselamatan sosial yang memupuk rasa aman.

Abenomics 2. 0 bertujuan untuk mengatasi isu penurunan kadar kelahiran dan populasi penduduk yang semakin berusia. Ini adalah isu yang paling mencabar di bawah visi jangka panjang dalam menghidupkan semula Jepun.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker