AntarabangsaIsu Semasa

Otohiko: Garpu Canggih Halang Bunyi ‘Slurp’

Sebuah syarikat makanan segera Jepun telah mencipta garpu pertama di dunia dikenali sebagai Otohiko yang mampu menutupi bunyi ‘slurp’ ketika menikmati mi segera.

Gangguan bunyi yang dikenali sebagai ‘gangguan mi’ itu menjadi isu hangat dalam media sosial di negara matahari terbit itu. Bagi masyarakat Jepun, bunyi yang dihasilkan ketika menikmati mi dianggap sebagai bukti seseorang itu menikmati makanan mereka.

Tradisi itu menunjukkan penghargaan kepada makanan dan dipercayai dapat meningkatkan rasa keenakan mi. Tetapi sesetengah orang terganggu oleh bunyi itu terutama pelancong-pelancong asing yang menganggap masyarakat Jepun sebagai masyarakat beretika.

Oleh itu, sebuah syarikat pengeluar mi segera mendakwa telah menemui penyelesaian kepada masalah itu dengan penciptaan Otohiko, yang memainkan bunyi yang menenangkan untuk menutup gangguan bunyi ‘slurp’.

Garpu penutup bunyi ini adalah inspirasi daripada alat tandas Jepun, Otohime, yang boleh diprogramkan untuk memainkan bunyi buatan untuk menutupi bunyi yang memalukan ketika menggunakan tandas.

Cara Otohiko berfungsi adalah mudah. Syarikat pelopor, Nissin Food Products, terdahulu mengumpulkan data contoh-contoh bunyi ‘slurp’ dan dimuatkan ke dalam sistem.

Hasilnya, syarikat itu mereka garpu besar dengan 1.73 inci (4.4 cm) lebar dan 5.98 inci (15.2 cm) panjang, yang dilengkapi dengan mikrofon yang sensitif untuk mengesan sebarang bunyi ‘slurp’.

‘Kami membangunkan sistem di mana setiap bunyi halus dapat dikesan,’ kata syarikat itu.

Apabila bunyi ‘slurp’ dikesan, Otohiko menghantar isyarat kepada telefon pintar pengguna yang kemudiannya akan memainkan bunyi yang disesuaikan untuk menutup bunyi ‘slurp’. Kesan bunyi juga boleh dilaraskan seperti bunyi xylophone.

Peranti ini mempunyai masa bateri sekitar satu jam dan pemegangnya tidak kalis air. Walau bagaimanapun, Nissin hanya akan menjual alat ini jika ia menerima 5,000 tempahan sebelum pertengahan Disember, dengan harga 14,800 yen (RM500).

Menurut Dailymail, firma yang berpangkalan di Tokyo itu akan menghantar garpu istimewa itu sekitar tiga bulan selepas mengesahkan penerimaan pesanan yang memenuhi target jualan mereka.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker