Bisnes & Ekonomi

Mydata SSM Bantu Peniaga Peroleh Maklumat Syarikat

Usahawan dan ahli perniagaan di Malaysia, serta dari negara lain, kini boleh menjimatkan masa dan kos apabila mendapakant maklumat entiti perniagaan dan maklumat syarikat dari portal Antarabangsa Mydata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Portal itu kini menawarkan penyenaraian syarikat dan profil perniagaan, perbandingan sejarah kewangan syarikat dan sijil perniagaan yang disahkan secara digital.

Perkhidmatan yang ditawarkan itu dikenakan bayaran pada kadar yang berpatutan, dan bayaran boleh dibuat melalui perbankan internet, kad kredit atau akaun prabayar Mydata.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata Malaysia merupakan negara pertama di Asean yang memperkenalkan perkhidmatan tersebut.

“Portal ini direka dengan pengalaman pengguna yang sama dengan portal MYDATA-SSM yang ada. Ia mudah digunakan. Pengguna boleh mencari data syarikat di 130 negara dalam bidang kuasa pendaftaran.”

Terdapat 130 negara yang terlibat dalam sistem itu dan Malaysia adalah yang pertama di Asean untuk menawarkan perkhidmatan ini. Di Malaysia, sistem itu telah mencatatkan kira-kira 180 pendaftar dan dari jumlah tersebut, SSM berjaya mengumpul 80 juta maklumat syarikat.

 Sistem itu akan dapat menghapuskan kegiatan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan mengekang pengelakan pembayaran cukai, lapor NST.

Dengan hanya satu klik, pengguna boleh membeli dokumen dalam talian menggunakan sistem gerbang pembayaran antarabangsa. Yuran yang dikenakan adalah bergantung kepada undang-undang setiap negara.

Portal itu juga akan menjadi sumber rasmi untuk agensi kerajaan, perbankan, firma perundingan, badan profesional dan perniagaan.

Sistem itu akan menjadi medium bagi syarikat tempatan dan asing untuk menjalankan pemeriksaan latar belakang entiti perniagaan sebelum mereka bekerjasama dan melanjutkan perkongsian perniagaan mereka.

Portal ini dibangunkan bersama dengan Big Dataworks Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan maklumat korporat Malaysia dan KYcKR Ltd, sebuah syarikat Bursa Sekuriti Australia yang menyampaikan perkhidmatannya dari Ireland.

Untuk mendapatkan maklumat yang sahih tentang kewujudan sesebuah syarikat sebelum menjalinkan kerjasama, layari www.mydata-ssm.com.my bagi mengelakkan anda ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker