AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Sepanyol Bersedia Hapuskan Kuasa Catalonia

Susulan referendum ‘haram’ yang dilaksanakan oleh Catalonia 1 Oktober, hubungan di antara Sepanyol dan wilayah itu bakal menjadi semakin buruk apabila kerajaan pusat Sepanyol bersedia untuk menghapuskan kuasa Catalonia.

Di dalam referendum tersebut, kira-kira 90% pengundi bersetuju untuk kemerdekaan Catalonia, tetapi hanya 43% sahaja pengundi yang layak telah keluar untuk mengundi.

Senat Sepanyol di Madrid dijangka akan meluluskan rancangan Perdana Menteri, Mariano Rajoy menggunakan Artikel 155 daripada perlembagaan negara itu untuk membuang atau mengehadkan kuasa wilayah berautonomi itu.

Jika rancangan tersebut dilaksanakan, ini bermakna kuasa pentadbiran di negeri itu akan diambil alih oleh kerajaan pusat Sepanyol.

Pelaksanaan Artikel 155 juga akan membolehkan kerajaan Sepanyol untuk memantau dan menyemak aktiviti-aktiviti Parlimen di Catalonia, dan wilayah itu turut akan kehilangan kuasa untuk meluluskan sebarang undang-undang sekiranya tidak mendapat kelulusan kerajaan pusat.

Tetapi, segelintir pihak menjangkakan bahawa langkah itu hanya akan menggalakkan lagi ahli parlimen Catalonia untuk mengisytiharkan kemerdekaan dari Spain secara unilateral.

Dalam pada itu, ketegangan di antara kedua-dua pihak juga menjadi semakin tegang apabila Sepanyol membantah sekeras-kerasnya referendum itu sambil menyifatkannya sebagai “tidak sah di sisi undang-undang negara”.

Akibat krisis politik yang bertambah buruk. pegawai-pegawai kerajaan Sepanyol mencadangkan supaya sebuah pilihan raya mengejut diadakan pada bulan Disember untuk memulihkan semula keadaan.

Namun sekiranya perkara ini dipersetujui oleh Presiden Catalonia, Carles Puigdemont, ia akan menimbulkan kemarahan tidak terkata daripada kumpulan pemisah.

Malah, selepas pegawai kerajaan Sepanyol mendakwa mungkin Puigdemont akan melaksanakan pilihan raya mengejut itu, kumpulan pemisah mengadakan demonstrasi besar-besaran di bandar Barcelona sambil memanggil beliau sebagai “pengkhianat”.

Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir sekutu/teman rapat presiden itu yang menggelar dirinya sebagai “pengecut” kerana tidak mengisytiharkan kemerdekaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Puigdemont menyatakan bahawa beliau memutuskan untuk membantah cadangan pilihan raya tersebut kerana kerajaan Sepanyol tidak memberi jaminan yang cukup kepada Catalonia dalam mengembalikan semula kuasa kepada mereka ke atas wilayah itu.

Jika Sepanyol meneruskan rancangan Artikel 155, ia akan menjadi satu campur tangan besar terhadap salah satu daripada 17 wilayah berautonomi di negara itu.

Selain itu, beratus-ratus syarikat perniagaan telah memindahkan ibu pejabat mereka keluar dari Catalonia, kerana bimbang sekiranya berlaku huru-hara yang lebih teruk dan tidak terkawal.

Dari aspek pelancongan, jumlah pelawat dan pelancong yang berhasrat untuk ke sana juga menyaksikan penurunan yang ketara.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker