Isu SemasaTempatan

Sikap Buruk Pemandu Punca Utama Kemalangan

Sejak kebelakangan ini, media massa sering melaporkan berita-berita mengenai pelbagai kes kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada insiden ini, namun kebanyakan kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu yang cuai, tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri, lebih-lebih lagi jika individu tersebut adalah pemandu kenderaan besar seperti bas dan lori.

Berdasarkan statistik Pasukan penyiasat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 66% kemalangan yang melibatkan bas dan lori adalah disebabkan oleh faktor manusia, diikuti faktor-faktor lain seperti kenderaan (10%), penglihatan (4%) dan keadaan jalan raya (20%).

Antara kecuaian yang selalu dilakukan oleh pemandu adalah mengikut laluan kecemasan, memandu melebihi had laju, dan juga sikap ‘tidak sabar’ untuk sampai ke destinasi sehingga sanggup memandu dengan cara merbahaya.

Kes kemalangan terbaru yang berlaku pada pagi hari Selasa di Kilometer 147 (KM 147) Lebuhraya Utara Selatan arah Utara melibatkan dua buah bas.

Memetik laporan Astro Awani, bas yang membawa pekerja kilang barangan elektronik terdiri daripada warga Indonesia dan Nepal telah berhenti di lorong kiri kerana mengalami kerosakan enjin sebelum dilanggar bas membawa pekerja tempatan dari Parit Buntar menuju ke Bayan Lepas.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 8 orang telah terkorban sementara 44 penumpang lain dilaporkan cedera, dengan 9 daripadanya mengalami cedera parah.

Untuk menjalankan siasatan terperinci, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menggantung permit setiap kenderaan milik syarikat-syarikat bas yang terlibat, iaitu KJJ Maju Enterprise dan Icon Tours Sdn Bhd.

“Ianya akan dijalankan berdasarkan piawaian Kod Amalan Keselamatan Industri dan SPAD akan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat jika didapati melanggar undang-undang,” kata SPAD dalam satu kenyataan.

KES PEMANDU BAS RAPID KL ‘GILA’

Pada bulan lepas, terdapat sebuah kes yang menyaksikan secara jelas sikap tidak bertanggungjawab seorang pemandu bas RapidKL, apabila dia cuba naik ke pembahagi jalan dalam cubaan untuk melintas ke jalan lain.

‘Aksi’ tersebut sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian, iaitu berhampiran stesen LRT Alam Sutera, Bandar Kinrara, Puchong  dan kemudian ditularkan di media sosial.

Selain itu, bas tersebut juga mengambil dua laluan jalan sebelum terpakasa mengundur kembali ke pembahagi jalan.

Difahamkan, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)  telah mengambil tindakan terhadap pemandu bas berkenaan dengan menggantung tugasnya.

Untuk menonton video penuh, anda boleh klik di sini.

SISTEM PEMANTAUAN SIKAP PEMANDU KENDERAAN KOMERSIAL

Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang mengkaji pelaksanaan skor pemandu untuk memantau sikap pemandu kenderaan komersial, khususnya bas.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sistem tersebut termasuk pemasangan peranti yang dikenali sebagai ‘On-board Diagnostic’ (OBD) pada kenderaan itu untuk mengumpul data pemanduan.

“Kajian ini bakal membolehkan kita mengenal pasti serta ketahui sikap pemandu bas dan menjejaki setiap tindakan mereka ketika memandu,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, pada hari Rabu, 26 Oktober 2017.

Menurut beliau, MOT juga telah mengambil pelbagai langkah untuk membendung kemalangan di jalan raya seperti pelaksanaan sistem pengehad laju di semua bas sejak tahun 2015 serta had pemanduan melebihi lapan jam.

Liow turut menegaskan bahawa kebanyakan kes kemalangan yang melibatkan kematian selalunya berpunca daripada sikap cuai pemandu yang gagal mematuhi peraturan pemanduan selamat, di mana pemandu akan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Dalam pada itu, MOT juga akan mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu yang didapati memiliki rekod saman, dan langkah itu termasuk menyenarai hitamkan mereka.

“Pada masa sama pemantauan berterusan dilakukan terhadap semua pemandu dan kenderaan komersial agar memenuhi semua prosedur serta piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” ujarnya lagi.

KESIMPULAN

Kerajaan serta pihak-pihak berwajib telah mengambil pelbagai langkah untuk memberi kesedaran kepada pemandu kenderaan supaya memandu dengan berhemah.

Namun, kebanyakan usaha yang telah dilakukan ibarat ‘mencurah air ke daun keladi.’

Ingat, keadaan tidak akan berubah sekiranya pemandu sendiri tidak mengubah sikap mereka ketika berada di jalan raya.

Jadi, daripada asyik menyalahkan takdir dalam setiap kemalangan yang berlaku, lebih baik jika kita muhasabah diri dan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki diri dan mengelak daripada berlakunya sebarang kecelakaan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker