AntarabangsaIsu Semasa

Perekrut Wanita Kanan Militan IS ‘Dalam Genggaman’ Pihak Berkuasa

Dua minggu lepas, pihak berkuasa Filipina telah menahan seorang wanita warga negara itu berusia 36 tahun yang disyaki merekrut anggota-anggota baru untuk menyertai kumpulan militan IS dengan menggunakan media sosial.

Suspek bernama Karen Aizha Hamidon itu ditahan oleh ejen-ejen khas di bandar Taguig, di timur Manila pada 11 Oktober, menurut Setiausaha Keadilan, Vitaliano Aguirre dalam satu kenyataan.

Aguirre berkata, Hamidon merupakan bekas isteri kepada seorang pengawal keselamatan warga Singapura bernama Muhammad Shamin Mohamed Sidek, yang ditahan di Singapura pada bulan Ogos 2015 kerana merancang untuk menyertai kumpulan pengganas tersebut dan menggunakan media sosial untuk menyeru orang ramai supaya melakukan keganasan.

Kemudian, Hamidon melangsungkan perkahwinan keduanya dengan warga Filipina, Mohammad Jaafar Maguid, yang mengetuai Ansar al-Khilafah (kumpulan berkaitan IS) di negara itu yang terbunuh pada bulan Januari dalam sebuah pertempuran dengan polis di wilayah selatan Sarangani.

Difahamkan, terdapat 296 posting di media sosial yang diterbitkan oleh wanita itu untuk merekrut anggota baru bagi membantu militan-militan yang bertempur di Bandar Marawi.

Memetik laporan The Star, terdapat kira-kira 250 nama (kebanyakannya warga asing) di dalam telefonnya, yang disyaki menjadi penyokong IS.

Oleh itu, telefon bimbit dan alat-alat perantik elektronik milik suspek telah dirampas untuk menjalankan siasatan forensik.

“Ia amat jelas bahawa tindakannya bersekongkol, atau selaras, dengan tindakan pemberontak (militan IS). Sementara ‘rakan-rakannya’ bertembur di Marawi, peranan dia adalah merekrut pejuang-pejuang untuk membantu kumpulan IS dan Maute dalam pengepungan Marawi,” kata Aguirre.

Berita penangkapan Hamidon diketahui dua hari selepas kematian dua orang ketua militan di Filipina, Isnilon Hapilon dan Omar Maute dalam sebuah pertempuran bersama pasukan keselamatan di Marawi.

Tahun lalu, pegawai risikian India meminta bantuan pihak berkuasa Filipina, selepas nama Hamidon muncul sebagai admin bagi perbualan kumpulan di Facebook, Whatsapp dan Telegram, di mana ia bertujuan untuk merekrut orang Islam di India berjuang demi IS.

Minggu lepas, Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan Marawi telah daripada cengkaman dan pengaruh militan susulan kematian dua orang pemimpin mereka itu.

Dalam konflik yang berlangsung selama 5 bulan tersebut, lebih daripada 1,000 militan, tentera kerajaan dan orang awam telah terkorban manakala kira-kira 400,000 orang penduduk kehilangan tempat tinggal.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker