AntarabangsaIsu Semasa

Militan IS Sasar Piala Dunia 2018?

Sebuah kumpulan media pro-militan IS telah menerbitkan poster mengerikan sebagai ‘simbol’ ancaman mereka terhadap Piala Dunia Bola Sepak yang akan berlangsung pada tahun depan di Rusia.

Poster tersebut menampilkan imej bintang bola sepak dunia, Lionel Messi seolah-olah berada dalam penjara dengan memakai baju banduan yang mempunyai namanya, sambil mengeluarkan air mata darah.

Kapsyen yang tertulis di bahagian bawah poster itu adalah “just terrorism”, dan ia secara terang dilihat sebagai cubaan untuk memerli slogan “just do it” jenama Nike.

Dalam pada itu, terdapat juga tulisan Arab yang berbunyi: “Anda sedang melawan sebuah negeri yang tidak mempunyai perkataan gagal dalam kamusnya.”

Memetik laporan Sky News, SITE, sebuah organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat yang memantau aktiviti atas talian puak-puak ekstremis, menyatakan bahawa poster tersebut diterbitkan oleh media pro IS bernama Wafa’ Foundation.

Poster yang diterbitkan oleh media militan IS – Sumber: www.ibtimes.co.uk

Difahamkan, poster tersebut diterbitkan beberapa hari selepas segelintir gambar propaganda lain yang mengancam piala dunia itu turut ‘muncul’ di laman-laman sosial.

Salah sebuah gambar menunjukkan seorang lelaki yang memakai pakaian untuk bertempur sedang berdiri di sebelah bom sambil melihat stadium, beserta kapsyen “api mujahidin akan membakar kamu.”

Rita Katz, ketua SITE di dalam Twitter-nya berkata, #FIFA18 merupakan topik yang berulang dalam kalangan penyokong-penyokong IS, dan terdapat pelbagai gambar dan perbualan yang kononnya mengancam ‘musuh-musuh Allah’ di Rusia.

Selain itu, kumpulan pengganas tersebut dilaporkan bertapak di wilayah Chechyna di Rusia yang mempunyai majoriti populasi Muslim.

Walau bagaimanapun, pihak penganjur Piala Dunia 2018 berikrar untuk melaksanakan sistem keselamatan yang paling ketat sekali untuk acara dunia 4 tahun sekali itu.

Pada bulan Januari, ketua Jawatankuasa Anti-Keganasan Rusia, Igor Kulyagin berkata, “perhatian khas” akan diberikan untuk melindungi stadium, tempat tinggal serta fasiliti latihan pemain.

Piala Dunia 2018 bakal berlangsung selama sebulan mulai 14 Jun sehingga 15 Julai 2018.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker