AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Venezuela: Kaya Dengan Minyak, Tetapi Miskin

Venezuela, atau nama rasminya Bolivarian Republic of Venezuela, terletak di bahagian utara Amerika Selatan dan ia sedang menghadapi krisis politik dan ekonomi yang buruk.

Negara itu juga mempunyai rizab minyak yang terbesar di dunia dengan anggaran kira-kira 302 bilion tong.

Tetapi, walaupun kaya dengan minyak, Venezuela telah diisytiharkan sebagai salah sebuah negara yang termiskin di dunia dan yang termiskin di Amerika.

Mengapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku? Bukankah negara yang mempunyai banyak minyak (sebagai contoh Arab Saudi), sepatutnya menjadi salah sebuah negara yang terkaya di dunia?

Berdasarkan sebuah kajian yang dilaksanakan di Venezuela pada tahun 2016, 82% daripada isi rumah di negara itu hidup dalam kemiskinan, di mana 52% berada pada tahap kemiskinan melampau manakala 18% lagi hampir mencapai tahap itu.

Pada tahun 2014, 51% isi rumah di negara itu dianggap sebagai golongan miskin, 24.8% miskin sederhana, dan 23% miskin melampau.

Memetik laporan Carabbean News Now, perkara ini berpunca daripada krisis ekonomi dan politk yang sedang dihadapi oleh Venezuela akibat kejatuhan harga minyak dan salah urus ekonomi oleh pihak kerajaan.

RIZAB MINYAK YANG TERBESAR DI DUNIA

Setengah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Venezuela datang daripada minyak dan penjualan minyak mentahnya yang merangkumi 96% daripada jumlah pendapatan eksportnya.

Negara tersebut menjual 40% daripada minyaknya ke Amerika Syarikat (AS), namun hubungan di antara kedua-dua negara itu menjadi semakin tegang pada misi kini.

Kira-kira 40% lagi hasil eksport minyak Venezuela digunakan untuk membayar pinjaman yang diberikan oleh China dan Rusia.

Tahun lepas, syarikat minyak negara, PDVSA menghasilkan 2.6 juta tong minyak setiap hari, namun jumlah itu menurun kepada 1.9 juta pada tahun ini.

KRISIS PENTADBIRAN

Nicolas Maduro, Presiden Venezuela pada masa kini merupakan pengganti yang dipilih oleh bekas presiden, Hugo Chavez.

Tetapi sejak pelantikannya pada tahun 2013, sokongan terhadap Maduro telah merudum walaupun beliau cuba sedaya upaya untuk mengekalkan dasar-dasar sosialis yang diperkenalkan oleh Chavez.

Lebih memburukkan keadaan, beliau mengambil alih pentadbiran negara ketika kekayaan negara itu berada pada tahap yang buruk akibat kejatuhan harga minyak.

Susulan itu, pelbagai demonstrasi dan protes ganas telah diadakan secara berleluasa, di mana ia telah meragut 43 nyawa pada tahun 2014 dan 125 nyawa pada bulan April hingga Julai pada tahun ini.

Oleh itu, Maduro kerap menggunakan tentera untuk menjaga keamanan dan mengawal keadaan negara yang menjadi semakin tegang.

KECAMAN MASYARAKAT ANTARABANGSA

Memetik laporan Yahoo Finance, masyarakat antarabangsa telah mengecam dan mengkritik langkah kerajaan negara itu yang mengambil tindakan keras terhadap pihak pembangkang dan penubuhan majlis baru yang pro-Maduro.

Walau bagaimanapun, AS, Kesatuan Eropah dan beberapa negara lain enggan mengiktiraf majlis baru tersebut.

Presiden Donald Trump juga telah menggelar Maduro sebagai “pemimpin jahat yang mempunyai impian untuk menjadi seorang diktator”.

AS juga telah melarang institusi-institusi kewangan Amerika untuk meminjamkan wang kepada Venezuela serta meletakkan negara itu dalam senarai negara yang tidak boleh dikunjungi oleh pelancong/pelawat.

Sementara itu, Maduro mendakwa bahawa krisis di negaranya itu merupakan sebuah konspirasi yang disokong oleh AS, dan memandangkan hubungan Venezuela dengan kuasa-kuasa Barat semakin tegang, beliau mula menjalin hubungan dengan Rusia, Turki dan China.

INFLASI DAN HUTANG YANG TERLALU TINGGI

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, kadar inflasi Venezuela berada pada tahap yang tertinggi di dunia dan dijangka akan meningkat sehingga 720% pada tahun ini.

Ekonomi pula semakin merosot sejak tahun 2014 apabila harga minyak mula jatuh, dan KDNK pada tahun ini dianggarkan hanya akan mencatatkan 7.4%.

Selain itu, 31.5 juta penduduk negara itu juga terjejas akibat krisis yang sedang berlaku dan mengalami kekurangan makanan, keperluan asas dan bekalan ubat.

Venezuela juga dibelenggu bebanan hutang yang besar, di mana ia perlu meminjam kira-kira AS$ 25 bilion hingga AS$ 35 bilion bagi setiap tahun, kata Bank Dunia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker