AntarabangsaIsu Semasa

Polis UK Gagal Tangani Penghambaan Moden

Baru-baru ini, pihak polis di United Kingdom (UK) dilaporkan gagal untuk membanteras gejala penghambaan moden di negara itu.

Menurut laporan Her Majesty’s Inspectorate of Constabulary and Fire & Rescue Services (HMICFRS), polis gagal mengenal pasti identiti mangsa-mangsa yang terlibat lalu membolehkan sindiket-sindiket untuk terus mengeksploitasi dan menganiaya mereka.

“Walaupun kes-kes penghambaan moden rumit dan memerlukan tenaga kerja yang signifikan (untuk membanterasnya), banyak kekurangan dalam proses penyiasatan kes-kes ini mencerminkan ‘kecacatan’ dalam amalan kepolisan asas,” kata Wendy Williams, seorang pegawai dari HMICFRS.

Beliau berkata, pihaknya mendapati bahawa proses penyiasatan kes-kes tersebut untuk mengenal pasti identiti mangsa tidak dijalankan dengan baik dan konsisten, dan kebanyakan siasatan juga ditutup awal.

Tegas Williams, hal ini berpunca daripada tahap kesedaran dan pemahaman yang rendah dalam kalangan pihak polis mengenai isu penghambaan moden, sekali gus menyebabkan ramai mangsa gagal dikenal pasti dan kekal dalam cengkaman penjenayah.

“Hasilnya, mangsa-mangsa dibiarkan tanpa perlindungan, menjadikan penjenayah bebas untuk terus mengeksploitasi orang sebagai komoditi,” ujarnya.

Malah, laporan HMICFRS turut menyatakan bahawa mangsa-mangsa penghambaan moden dan pemerdagangan manusia sebaliknya dilihat dan dilayan sebagai pesalah imigresen.

ANTARA KES PENGHAMBAAN MODEN YANG DIKENAL PASTI

Sebuah organisasi di UK yang membantu golongan mangsa penghambaan moden bernama Unseen, mendedahkan beberapa kes yang berjaya dikenal pasti.

Sebuah kes menyaksikan seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai “Asif”, yang datang ke UK untuk bekerja, tetapi menghadapi eksploitasi apabila terperangkap dalam pekerjaan ‘pasaran gelap’ (black market).

Difahamkan, dia bekerja di pelbagai restoran dengan bayaran sedikit atau tiada bayaran langsung, hanya tidur di lantai dan terpaksa bekerja dalam persekitaran yang merbahaya.

Asif juga kerap didera sehingga menyebabkan dirinya mengalami kemurungan dari segi mental dan juga fizikal.

Dalam kes kedua pula, mangsa berusia 19 tahun yang dikenali sebagai “Manisha”, datang ke UK untuk bekerja bersama mak cik saudaranya.

Manisha menghabiskan kebanyakan masanya untuk memasak, melakukan kerja-kerja pembersihan dan menjaga dua orang anak mak cik saudaranya.

Namun, dia mengalami pelbagai bentuk penganiayaan, di mana dia dipaksa bekerja tanpa henti dari 6 pagi sehingga 1 pagi setiap hari.

“Saya dipukul pada kebanyakan hari. Saya pernah dipukul begitu kuat di bahagian kepala dan sehingga ia terpaksa dijahit,” katanya.

KES PENGHAMBAAN MODEN MENINGKAT 218%

Shaun Sawyer, Ketua Konstabel Polis berkata, pihak polis kini sedang mencari dan membongkar penghambaan moden dengan aktif.

“Di seluruh England dan Wales, terdapat lebih daripada 400 siasatan aktif — iaitu peningkatan sebanyak 218% daripada November 2016, dan 85% (daripada  kes itu) diketuai oleh polis,” katanya.

Sementara itu, komisioner bebas anti-penghambaan, Kevin Hyland menyatakan bahawa mungkin terdapat puluhan ribu mangsa penghambaan moden di UK, iaitu lebih tinggi daripada anggaran yang dibuat sebelum ini, iaitu 13,000 orang.

Seorang pelatih daripada Hope for Justice, Nigel Osman berkata, penghambaan moden dan pemerdagangan manusia sudah pun ‘sebati’ di negara itu.

“Ia berada dalam komuniti kita. Ia boleh berlaku di jalan berdekatan tempat tinggal anda dan anda mungkin tidak tahu mengenainya,” kata Osman.”

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker