AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Arab Saudi Kembali Ke Jalan ‘Islam Sederhana’

Arab Saudi merupakan negara konservatif yang mengamalkan undang-undang yang dianggap terlalu ‘ekstrem’, khususnya bagi golongan wanita.

Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, kerajaan negara itu, di bawah pimpinan Raja Salman dan anakandanya, Mohammed bin Salman yang juga merupakan Putera Mahkota, telah melakukan pelbagai pembaharuan besar, termasuk memansuhkan larangan memandu ke atas wanita di negara itu.

Baru-baru ini juga, Putera Mohammed berikrar untuk menjadikan Arab Saudi sebagai sebuah negara Islam yang “sederhana dan terbuka”.

Kesederhanaan dalam konteks tersebut merujuk kepada Islam sederhana, yang terbuka kepada semua orang dari seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kita kembali semula kepada keadaan sebelum ini – sebuah negara yang mengamalkan Islam sederhana yang terbuka kepada semua agama dan seluruh dunia,” katanya di sebuah forum ekonomi di Riyadh pada hari Selasa.

Ujar beliau lagi, Arab Saudi tidak akan menghabiskan masa 30 tahun yang akan datang untuk menangani idea-idea yang merosakkan.

“Kami akan menghapuskannya sekarang. Kami akan mengakhiri ekstremisme tidak lama lagi,” tambahnya.

Kenyataannya itu dianggap sebagai ‘serangan terbuka’ terhadap pihak konservatif yang berpengaruh di negara tersebut.

Putera Mohammed berkata, Arab Saudi merupakan negara G20 yang mempunyai salah sebuah ekonomi terbesar di dunia, dan beliau mempercayai dengan mengubah negaranya ke arah yang lebih baik, ia akan membantu dalam membawa perubahan kepada dunia.

“Inilah apa yang kami sedang cuba untuk lakukan di sini. Dan kami mengharapkan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Selama ini, kerajaan Arab Saudi sering dikritik oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia antarabangsa akibat undang-undang ketat yang dilaksanakan.

Namun, negara tersebut mula mendapat pujian apabila melakukan pelbagai pembaharuan yang positif sejak pelantikan Mohammed sebagai Putera Mahkota pada 21 Jun.

Memetik laporan Al Jazeera, Putera Mahkota itu menzahirkan keyakinannya terhadap generasi muda di negaranya dan kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri dalam dunia pasca-minyak.

Sebelum ini, ekonomi Arab Saudi bergantung sepenuhnya pada minyak, tetapi Mohammed mempunyai rancangan untuk mempelbagaikan ekonomi negara itu supaya tidak hanya bergantung pada sumber itu sahaja.

Dalam pada itu, pihak berkuasa negara itu kini bersungguh-sungguh untuk memodenkan beberapa sektor, dan rancangan itu mungkin termasuk membenarkan panggung wayang untuk beroperasi, namun ia mungkin tidak akan dipersetujui oleh ulama-ulama konservatif kerana ia dianggap ‘mencemarkan’ budaya di sana.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker