AntarabangsaIsu Semasa

Wanita Vietnam Pilih Lelaki Korea

Huynh Thi Thai Muoi mengambil risiko apabila dia meninggalkan rumahnya di pedalaman Vietnam untuk memulakan hidup baru di Korea Selatan bersama seorang lelaki yang baru dikenali.

Dia tidak pandai berbahasa Korea dan tidak tahu apa-apa tentang rumah barunya di Korea. Suaminya pula berumur dua kali lebih tua daripadanya. Tetapi wanita yang berumur 23 tahun itu mahu mencari cinta dan permulaan yang baru.

“Saya mahu kehidupan baru, saya mahu mencabar diri sendiri dan melihat sama ada saya boleh berkembang maju atau tidak,” kata Muoi.

Muoi diperkenalkan kepada lelaki bujang yang berusia 43 tahun iaitu Kim Kyeong-Bok melalui sepupunya, yang juga berkahwin dengan seorang lelaki Korea, dan pasangan itu berkahwin beberapa hari selepas berjumpa.

Dia merupakan salah seorang daripada 40,000 pengantin Vietnam di Korea Selatan, iaitu destinasi utama bagi wanita yang sedang mencari cinta dan jalan keluar daripada kemiskinan. Kebanyakannya tidak tahu tentang negara itu selain K-pop atau filem-filem Korea, tetapi mereka tetap berkahwin dengan orang asing.

Bagi Muoi, kehidupan baru di bandar Gwangju bersama suami barunya telah melepasi jangkaan.

“Suami saya benar-benar mencintai saya, lebih daripada yang saya harapkan,” katanya.

Walaupun terdapat halangan bahasa, Kim mengajarnya cara untuk berbelanja dan memasak, dan berharap dia akan berkawan dengan isteri-isteri lain yang berwarga asing di pusat komuniti berdekatan.

“Apabila saya pertama kali bertemu dengannya, saya berfikir, ‘wanita inilah yang akan menjadi isteri saya’,” kata Kim.

Mujur Muoi adalah antara wanita yang bertuah. Ramai wanita Vietnam lain mendapati kehidupan baru mereka bukan seperti apa yang mereka impikan. Beribu-ribu wanita telah bercerai dan pulang kembali ke Vietnam.

“Wanita-wanita ini tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang suami mereka atau bagaimana kehidupan di Korea,” kata Youn Sim Kim, pengarah Korea Center for United Nations Human Rights Policy (KOCUN), sebuah NGO yang beroperasi di selatan wilayah Can Tho di mana berasalnya kebanyakan pengantin Vietnam.

Satu daripada lima pasangan Vietnam-Korea memfailkan perceraian pada tahun 2015, menurut data terkini daripada Statistik Korea.

“Saya fikir kehidupan akan sama seperti di Vietnam, mungkin satu-satunya perbezaan adalah makanan,” kata Le Thi The, seorang janda yang kini tinggal di Can Tho.

Tempoh berbulan madu tiba-tiba berakhir sehari selepas dia tiba dan mendapati suaminya bukan orang yang dia sangkakan.

“Saya memintanya pulang ke rumah dan dia marah kepada saya, dia melemparkan semua barangan saya keluar dari rumah,” katanya.

Pengantin wanita daripada Vietnam kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar di Korea Selatan, kerana ramai wanita di kawasan pedalaman Korea Selatan telah berpindah ke kawasan bandar yang cepat berkembang bagi memenuhi kehendak kerjaya.

Masalah berterusan apabila wanita-wanita ini pulang ke Vietnam dan perceraian mereka tidak diiktiraf di sisi undang-undang dan anak kelahiran Korea mereka tidak layak untuk menghadiri sekolah tempatan, lapor AFP.

KOCUN yang ditubuhkan pada tahun 2011, membantu wanita-wanita tersebut untuk bersedia menjalani kehidupan di Korea dengan mengajar mereka tentang iklim, budaya, bahasa dan makanan tempatan serta membantu mereka yang pulang kembali.

Kebanyakan pasangan bertemu melalui agen perkahwinan haram di Vietnam. Mereka mengaturkan sesi pemilihan pengantin untuk lelaki Korea.

Tetapi polis di Vietnam telah mengambil tindakan terhadap agen-agen tersebut dan kerajaan Korea Selatan telah mengetatkan peraturan visa, jadi bilangan perkahwinan asing sedemikian semakin menurun.

Muoi optimistik dengan hubungan barunya, tetapi mengakui hidupnya di Korea Selatan kadang-kala kesunyian. Dia berkata dia akan menangis setiap kali memikirkan keluarganya di Vietnam.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker