AntarabangsaIsu Semasa

New York Haramkan Penggunaan Gajah Untuk Hiburan

Baru-baru ini, bandar New York di Amerika Syarikat telah mengharamkan penggunaan gajah dalam aksi-aksi hiburan seperti sarkas dan perarakan.

Gabenor New York, Andrew Cuomo menandatangani Akta Perlindungan Gajah menjadi undang-undang selepas ia diluluskan oleh badan legislatif pada bulan Jun.

Aktivis-aktivis hak asasi haiwan menyatakan bahawa gajah-gajah yang digunakan dalam persembahan dilayan dengan teruk oleh pelatih-pelatih sarkas.

“Gajah tidak akan lagi dikenakan lagi penderaan kejam ini,” katanya sambil menambah penggunaan gajah dalam acara-acara hiburan boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Memetik laporan Independent UK, Cuomo berkata, Akta Perlindungan Gajah mengukuhkan lagi usaha pentadbirannya untuk membanteras kekejaman terhadap haiwan dan mewujudkan New York yang lebih “berperikemanusiaan”.

Walau bagaimanapun, undang-undang tersebut hanya akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2019, dan pesalah akan dikenakan bayaran penalti sebanyak AS$ 1,000 (RM 4,232) bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

“Pengasingan, penyeksaan dan keadaan kehidupan yang tidak sihat menyebabkan kematian awal bagi haiwan-haiwan lembut dan cerdas ini,” kata anggota dewan perundangan, Amy Paulin yang menaja Rang Undang-Undang (RUU) tersebut.

 

KEKEJAMAN TERHADAP GAJAH DI THAILAND

Pada bulan Julai, sebuah laporan mendedahkan bahawa jumlah gajah yang ‘bekerja’ dalam industri pelancongan Thailand adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding bilangan haiwan itu di seluruh Asia.

Sejak beberapa dekad lalu, industri berkenaan menyaksikan perkembangan yang pesat apabila menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan ‘unik’ untuk menarik perhatian pelancong seperti menunggang gajah atau menonton persembahan mereka di dalam sarkas.

Walau bagaimanapun, amat menyedihkan untuk mengetahui bahawa gajah-gajah tersebut diseksa dan diberi makanan atau diet yang tidak sihat.

Difahamkan, pasukan penyelidik dari World Animal Protection (WAP) telah melawat 220 tempat yang menggunakan gajah di seluruh Asia dalam tempoh dua tahun.

Tidak dinafikan bahawa industri pelancongan berkenaan membangun dengan baik, namun gajah-gajah dilayan tidak lain seperti ‘hamba’.

Daripada 2,923 ekor gajah yang bekerja dalam industri pelancongan di seluruh Asia, 2,198 berada di Thailand dan menurut penyelidik WAP, gajah-gajah yang tidak ‘bekerja’ akan diikat sepenuh waktu dari pagi hingga malam.

Dalam pada itu, penyelidik turut menegaskan bahawa jika pengunjung boleh menunggang, memeluk atau mengambil swafoto bersama haiwan liar seperti gajah, itu bermakna bahawa ia telah menempuhi sesi latihan yang kejam dan penuh tekanan semata-mata untuk menjadi ‘jinak’.

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker