AntarabangsaIsu Semasa

Australia & Filipina Bergabung Menentang Militan

Australia baru-baru ini mengumumkan untuk memperluaskan lagi sokongan dan bantuan mereka kepada Filipina untuk membanteras kebangkitan dan penyebaran keganasan.

Pengumuman itu dibuat susulan daripada kejayaan tentera Filipina dalam membebaskan bandar Marawi daripada cengkaman kumpulan militan yang telah bersumpah taat setia dengan IS selama tempoh 154 hari.

Antara bantuan yang akan diperluaskan termasuk memberikan latihan ketenteraan dalam membanteras keganasan di kawasan bandar.

Dalam pertempuran di Marawi, pihak berkuasa Filipina menyatakan bahawa seramai 920 militan, 165 anggota tentera dan polis serta sekurang-kurangnya 45 orang awam telah terkorban.

Selain itu, lebih daripada 300,000 penduduk bandar itu juga telah kehilangan tempat tinggal mereka akibat konflik tersebut.

Memetik laporan Reuters, Australia bersama-sama Amerika Syarikat, Singapura, dan China, telah menyediakan bantuan senjata dan teknikal kepada Filipina, termasuk pesawat pengawasan.

Tentera Filipina berjaya Membebaskan Bandar Marawi – Sumber: www.bbc.com

“Semua negara perlu belajar daripada konflik Marawi baru-baru ini dan pengalaman Filipina (dalam menanganinya),” kata Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne.

Ujar beliau, kerajaan kedua-dua negara (Australia dan Filipina) akan mengajurkan sebuah seminar pasca-konflik untuk mempelajari mengenai pertempuran di bandar berkenaan.

Kini, kira-kira 80 anggota tentera daripada pasukan latihan mudah alih Australia akan dihantar ke pangkalan Filipina untuk melatih unit tentera dan marin dalam peperangan counter-terrorism di kawasan bandar.

“Latihan praktikal di Australian Defense Forces (ADF) akan menyediakan dan memastikan supaya pasukan pertahanan Filipina dapat membanteras taktik-taktik brutal pengganas.

“Penyebaran keganasan yang diinspirasikan oleh Daesh (IS) merupakan ancaman secara langsung terhadap Australia dan kepentingannya dan kami komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dan sekutu-sekutu kami bagi memastikan Daesh tidak dapat bertapak di rantau itu,” tegasnya.

Tambah Payne, Australia amat bimbang dengan pejuang-pejuang IS yang pulang semula ke tanah air asal mereka di Asia Tenggara daripada Iraq dan Syria.

Oleh itu, Australia bekerjasama rapat dengan Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura untuk memantau pergerakan kumpulan militan.

Menurut Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, kerajaan negara itu mendapat maklumat risikan daripada perisik Kurdish, mengenai senarai nama pejuang IS rakyat Indonesia, Malaysia dan Filipina, yang mungkin akan pulang semula ke negara masing-masing.

Jelas Lorenzana, Filipina dan Australia kini sedang mengkaji semula penghantaran pesawat pengawasan, yang terbang empat kali seminggu di Marawi sejak akhir bulan Jun.

Selain daripada latihan peperangan bandar, Australia juga akan meningkatkan kemampuan perisikan, pengawasan dan peninjauan ketenteraan, berkongsi maklumat dan risikan serta mengukuhkan lagi keselamatan dan rondaan maritim dua hala.

Filipina juga akan menyaksikan kehadiran lebih banyak kapal perang Australia di Manila.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker