AntarabangsaIsu Semasa

Polis Brazil Berkas Lebih 100 Suspek Pedofil

Kewujudan pedofil atau individu yang mempunyai nafsu terhadap kanak-kanak untuk melakukan hubungan seksual semakin berleluasa di serata dunia, tambah-tambah lagi dengan adanya teknologi internet.

Teknologi internet serta alat-alat peranti yang canggih memberi kita akses terhadap pelbagai maklumat tanpa sempadan, dan apabila kemudahan ini disalahgunakan, ia menjadi penyumbang besar terhadap perkembangan pesat industri pornografi, termasuk pornografi yang melibatkan kanak-kanak.

Baru-baru ini, polis di Brazil telah menahan 108 suspek pedofail dalam operasi yang terbesar pernah dilakukan di Amerika Selatan.

Lebih mengejutkan lagi, suspek-suspek yang ditahan termasuk pegawai polis yang telah bersara, penjawat-penjawat awam, serta individu-individu yang mengendalikan kelab bola sepak remaja.

Memetik laporan Independent UK, kesemua suspek ditahan di 24 negeri di seluruh negara itu.

Menteri Kehakiman, Torquato Jardim berkata, individu-individu yang ditahan disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket yang menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanak di atas talian (online).

Menurut pegawai penyiasat, pihak mereka telah menemui lebih daripada 150,000 fail di komputer dan telefon yang mengandungi gambar-gambar ‘mengerikan’ remaja, kanak-kanak, dan juga bayi.

Gambar-gambar tersebut boleh diakses menerusi ‘dark web’ (laman web gelab), yang merupakan sebahagian daripada internet yang tidak dapat diakses oleh kebanyakan enjin carian.

Selain daripada menyebarkan gambar-gambar lucah, polis menyatakan bahawa kumpulan penjenayah itu juga menghasilkan bahan-bahan pornografi menggunakan kanak-kanak.

Difahamkan, suspek-suspek telah menggunakan pelbagai ‘teknik’ untuk mengelak daripada dikesan, namun mereka akhirnya ditahan selepas proses penyiasatan selama 6 bulan yang melibatkan pegawai-pegawai imigresen Amerika Syarikat dan Eropah.

Golongan mangsa dipercayai telah didera oleh ibu bapa serta penjaga mereka.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada sindiket pedofail yang beroperasi di Brazil itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pedofail di negara-negara lain.

PEDOFAIL WARAS, SEDAR DAN MERANCANG PERBUATAN MEREKA

Terdapat segelintir pihak yang menganggap bahawa pedofil merupakan golongan yang mempunyai masalah mental atau ‘tidak waras’, namun ia amat menakutkan kerana pada hakikatnya, mereka melakukan perbuatan menjijikkan itu dengan niat, kesedaran, dan rancangan yang jelas.

Memetik laporan Berita Harian pada bulan Mac, Pensyarah Kanan Sains Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Geshina Ayu Mat Saat, membuat perbandingan di antara perogol dan pedofil, di mana perogol mungkin melakukan perbuatan mereka tanpa perancangan teliti, tetapi pedofil pula memang merancang untuk melakukannya.

Menurut Dr Geshina, bukti perkara ini boleh dilihat dalam kes-kes pedofil kerana mereka akan melakukan jenayah berkenaan ke atas kanak-kanak secara berulang-ulang.

“Pedofil diistilahkan pada tarikan seksual yang sangat kuat pada kanak-kanak, tetapi secara peribadi, saya berpendapat sebarang tarikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak adalah suatu kesalahan kerana ia sudah di rancang dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Untuk menangani gejala ini dengan lebih berkesan di Malaysia, kerajaan telah mewujudkan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang beroperasi di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Penubuhan mahkamah  bertujuan untuk mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak, dan ia direalisasikan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pada bulan April.

HUKUMAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG ITU

Di bawah undang-undang tersebut, sesiapa sahaja yang menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pronografi kanak-kanak akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan menerima tidak kurang enam sebatan, jika disabitkan bersalah.

Bagi individu yang melakukan amang seksual fizikal pula, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun serta dihukum dengan sebatan.

Amang seksual fizikal termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, menyuruh mereka (kanak-kanak) menyentuh mana-mana bahagian badan individu itu atau saling melakukan sentuhan badan (body contact) tanpa melakukan persetubuhan.

Individu yang melakukan amang seksual bukan fizikal juga tidak akan terlepas daripada dihukum jika sabit kesalahan.

Antaranya adalah melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak, mengikuti, memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan berulang kali atau kerap dalam apa cara sekali pun.

Kesalahan ini boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, sesiapa yang tidak memberi maklumat berhubung perlakuan atau niat mana-mana individu yang melakukan kesalahan-kesalahan tersebut juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker